Petugas menggunakan vaksin jenis Sinovac untuk diberikan kepada warga emas di Hospital KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 07 JUN 2021. Sinovac booster dose shot Pharmaniaga
Gambar hiasan.

PULAU PINANG: Lain dulang lain kaki, lain orang lain vaksin!

Orang ramai seakan-akan mempunyai “citarasa” sendiri mengenai vaksin apabila ada yang menggemari jenama Pfizer manakala ada yang sanggup berbaris panjang untuk Sinovac.

Sinchew Daily melaporkan, baris panjang berlaku di dua pusat pemberian vaksin di utara Semenanjung apabila orang ramai mahu mendapatkan vaksin Sinovac.

Mereka telah menerima Sinovac untuk dos pertama dan kedua dan tidak mahu mencampuradukkan vaksin lain untuk dos penggalak.

“Peminat Sinovac” yang rata-ratanya keturunan Cina itu juga menegaskan mereka bukannya tidak mempercayai vaksin jenama lain, tetapi sekadar tidak mahu mencampurkan vaksin berlainan.

Golongan yang tidak mahu “campur-campur vaksin” itu dilaporkan akan membanjiri pusat pemberian vaksin yang menyediakan suntikan Sinovac.

Sinchew Daily melaporkan, baris panjang berlaku di SP Plaza dan Hotel Zaque’s di Sungai Petani kerana orang ramai mahu mendapatkan dos penggalak Sinovac.

Jurucakap Pusat Pemberian Vaksin di SP Plaza bagaimanapun berkata, bekalan Sinovac adalah terhad dan hanya akan digunakan ke atas orang ramai yang mempunyai isu alahan termasuk mereka yang mengalami pening, jantung berdebar-debar dan tanda alergik ketika menerima dos pertama dan kedua.

Keadaan itu bermakna bukan semua orang yang menerima Sinovac sebagai dos pertama dan kedua boleh menerima dos ketiga Sinovac.

“‘Kebanyakan orang mungkin datang untuk Sinovac, tetapi kami tidak berjanji bahawa mereka akhirnya akan dapat Sinovac,” kata jurucakap tersebut.

Di Pusat Pemberian Vaksin di Hotel Zaque’s pula, jurucakapnya berkata, Sinovac mula diberikan pada Rabu, tetapi hanya terdapat 80 dos yang akan diberi secara siapa cepat dia dapat.

“Operasi kami bermula pukul 9 pagi dan sudah ada 70 hingga 80 orang yang datang pada 9.30 dengan kebanyakannya adalah kaum Cina.

“Dalam tempoh 30 minit sahaja, dos Sinovac yang ada tinggal separuh sahaja,” katanya.

Menurutnya, pusat itu hanya menerima 80 hingga 100 dos Sinovac setiap hari, maka mereka yang tidak mempunyai permintaan spesifik atau tidak menolak Pfizer akan diberi vaksin Pfizer. – MalaysiaGazette