Majlis penganugerahan berkenaan disempurnakan Canselor USM, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail di Istana Arau, Perlis. Foto Facebook Lee Chong Wei.

KUALA LUMPUR – Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan sempena Majlis Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) ke-58, hari ini.

Majlis penganugerahan itu disempurnakan Canselor USM, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail di Istana Arau, Perlis.

“Siapa sangka budak nakal ini dapat anugerah Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan. Mak pasti paling gembira saya rasa. Akhirnya anak dia boleh sertai majlis konvokesyen dan pakai topi empat segi.

“Tapi baru perasan tadi, rupanya topi bulat pula. Kepada sesiapa yang nak kasi bunga konvo dekat saya, saya minta sejambak bunga kubis boleh?” tulis Chong Wei di Facebook miliknya

Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berkata pihaknya berasa bangga dengan penganugerahan yang diterima Chong Wei itu.

“Ia adalah pengiktirafan yang tinggi daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terhadap sumbangan beliau dalam pembangunan sukan negara, khususnya dalam sukan badminton,” kata Norza dalam kenyatan menerusi akaun Facebook rasmi MOM. – MalaysiaGazette