Muhammad Fayadh. Foto Facebook Kedah Darul Aman FC.
KUALA LUMPUR – Kelab Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mengumumkan Muhammad Fayadh Mohd. Zulkifli Amin kekal bersama pasukan hijau kuning pada Liga Malaysia musim 2022.
Seleum ini, Fayadh, 23, dikaitkan akan berhijrah ke salah satu pasukan di Lembah Klang berikutan prestasi cemerlang musim ini.
Dia memulakan karier bersama pasukan Majlis Daerah Kubang Pasu dalam saingan Piala Menteri Besar Kedah 2017 dan muncul sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir.
Anak kelahiran Baling itu turut membantu pasukannya muncul juara kejohanan tersebut, yang menjadi batu loncatan untuk Fayadh mendapat panggilan ke skuad kebangsaan ketika ini.
Bakatnya mula diasah selepas beberapa musim bersama pasukan Piala Presiden Kedah pada musim 2018 sebelum diserap masuk ke skuad Liga Super Kedah pada musim 2019 seterusnya mendapat perhatian skuad utama selepas mempamerkan kelincahan dalam beberapa perlawanan penting sebagai pemain gantian.
Setakat ini dia telah berjaya menyumbang enam gol buat pasukan Kedah dan walaupun beraksi sebagai ‘Super Sub’, sumbangan nyacukup besar dalam mengucar kacirkan pertahanan lawan dalam membuat hantaran kepada rakan sepasukan seterusnya turut menjaringkan gol. – MalaysiaGazette