Foto Johor Southern Tigers.

KUALA LUMPUR – Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) menyifatkan kekalahan kelabnya dalam perlawanan akhir Piala Malaysia malam kelmarin merupakan ‘wake-up call’ untuk menjadi lebih baik pada musim depan.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk berkongsi perkembangan kelab dan juga beberapa maklumat yang lain. Maklumlah orang jarang kalah ini, sekali sekala bila kalah jadi rajin pula buat kerja.

“Ada hikmah disebaliknya, bagus juga ada ‘wake-up call’. Buat apa pun jikalau Allah SWT tidak mengizinkan rezeki tersebut bukan kita punya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook Johor Southern Tigers di sini.

Menurut kenyataan rasmi, Tunku Ismail berkata, kelab itu juga akan mengeluarkan belanja untuk membawa masuk beberapa pemain terbaik dan menghantar pasukan menjalani latihan di luar negara serta mengadakan perlawanan persahabatan menentang kelab eropah.

“Saya rasa untuk tiga musim terakhir ini, kami menjadi terlalu selesa, terlalu yakin dan kami tidak mengeluarkan belanja untuk skuad. Tetapi kini selepas apa yang terjadi, kami akan mula berbelanja semula kerana kami sudah dicabar.

“Ianya akan menjadikan kami lebih bermotivasi untuk bertanding tahun hadapan. Saya anggap kekalahan semalam adalah positif untuk JDT. Kami akan menjadi lebih obses untuk memperbaiki kesilapan kami dan menguatkan lagi pasukan ini.

“Kami akan menjalani latihan pra-musim di Dubai dan Abu Dhabi untuk bermain dengan beberapa kelab tempatan di sana dan juga kelab-kelab Eropah untuk persiapan kami.

“Ada beberapa pemain akan dikekalkan, ada yang akan dipinjamkan keluar dan ada pemain yang akan dilepaskan. Pengarah Teknikal JDT akan membuat pengumuman kepada para penyokong dengan lebih mendalam lagi nanti.

“Saya baru ingat hendak berehat dari bola sepak tahun hadapan tetapi apa yang berlaku membuatkan saya tidak jadi berehat. Seperti yang saya pernah katakan, ‘a wounded Tiger is always eager to bounce back’,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast