Gambar hiasan

 

KUALA LUMPUR – Sebuah kedai jam di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur disamun seorang pelanggan lelaki semalam yang menggunakan objek menyerupai  pistol.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 7.30 malam ketika dua pengadu berada dalam premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Amihizam Abdul Shukor berkata, menerusi kamera litar tertutup, suspek dilihat memakai pelitup muka, membawa beg galas warna hitam dan dua plastik warna putih dan hijau di tangan kanan.

Hasil siasatan awal polis mendapati kali terakhir suspek dilihat berjalan kaki keluar menuju ke Jejantas Abdullah Hukum.

Menurutnya, buat masa ini, polis telah menjalankan tangkapan ke atas pengadu iaitu seorang perempuan berbangsa Melayu berumur 41 tahun dan seorang lelaki warga tempatan berbangsa Cina berumur 34 tahun.

Polis turut membuat rampasan sebuah telefon bimbit jenama Redmi warna hitam beserta simkad bagi membantu siasatan.

Kedua-dua suspek telah dibawa ke hadapan Majistret Kuala Lumpur untuk proses permohonan tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Saksi awam lain yang mempunyai maklumat berkaitan individu yang mungkin terlibat dalam kejadian samun ini diminta hadir ke balai polis berdekatan untuk memberi keterangan. – MalaysiaGazette