KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah berjaya mengutip zakat sebanyak RM632.2 juta bermula Januari sehingga November lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan sebanyak lapan peritus berbanding RM584.3 juta sepanjang tahun lalu.
Justeru, beliau menyeru agar semua pihak terus memberi kepercayaan dan sokongan kepada institusi zakat agar dapat terus melaksanakan amanah bagi memastikan lebih ramai asnaf dapat dibantu dan seterusnya akan meningkatkan tahap hidup umat Islam itu sendiri.
“Sifir mudah semakin banyak zakat berjaya dikutip, semakin banyak lagi program dapat disediakan kepada para asnaf untuk mengeluarkan mereka dari kepompong kemiskinan dan seterusnya mampu mengubah ekonomi keluarga mereka.
“Dana zakat yang terkumpul adalah satu jaminan terhadap keperluan sosial ummah supaya mereka dapat turut serta dalam kehidupan bermasyarakat, tidak menjadi individu atau golongan yang terpinggir dan terpencil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Zakat Korporat 2021 yang berlangsung di Masjid Negara di sini hari ini.
Pada majlis itu, PPZ-MAIWP telah menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM12,035,334.43 daripada 18 syarikat korporat antaranya Alhijrah Corporation, Agrobank, Pharmaniaga Berhad, CIMB Islamic Bank Berhad dan FGV Holdings Berhad.
Penganjuran majlis itu bertujuan menghargai para pembayar zakat serta sebagai galakan kepada syarikat-syarikat korporat lain untuk membayar zakat perniagaan mereka agar lebih ramai golongan asnaf dan mereka yang memerlukan di Wilayah Persekutuan dapat dibantu.
Mengulas lanjut, Idris menambah, ibadah zakat juga merupakan satu sistem yang berupaya menentukan keadilan sosial masyarakat kerana zakat itu sendiri dan berperanan menjamin perlindungan pertanggungjawaban terhadap kesejahteraan dan keamanan ummah .
Lantaran itu jelas beliau, jelas sekali betapa besarnya hikmah bayaran zakat yang dikeluarkan oleh para pembayar zakat dalam usaha menjamin keharmonian kehidupan masyarakat Islam.
“Para pembayar zakat ini secara tidak langsung menjadi nadi penting kepada masyarakat di sekelilingnya.
“Ini kerana sistem zakat ini telah disusun cantik oleh Allah SWT bagi menjamin kehidupan hambanya lebih terjamin dan teratur,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAWIP Abdul Hakim Amir Osman berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada syarikat-syarikat korporat yang membayar zakat di atas keprihatinan untuk bersama menggalas tanggungjawab membantu asnaf dan mereka yang memerlukan.
“Saya juga ingin menyeru kepada semua umat Islam untuk segera menunaikan zakat sebelum atau pada 31 Disember ini bagi mendapat rebat cukai pendapatan di samping membantu lebih ramai asnaf untuk bangkit dalam mengharungi situasi sukar Covid-19 ini,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi MAWIP, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, Pengerus PPZ- MAWIP, Datuk Seri Syed All Al-Habshee dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekut MAWIP, Nizam Yahya. – MalaysiaGazette