Rais Yasin

JASIN – Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Selandar merekodkan kes pertama positif Covid-19 membabitkan seorang pelajar Tingkatan Lima.

Exco Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin ketika dihubungi MalaysiaGazette malam ini berkata, pelajar terbabit bagaimanapun telah ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) MITC Ayer Keroh.

“Saya baru semak dengan Pengetua SBPI Selandar tadi selepas terima laporan mengenainya jam 7 malam tadi, pelajar berkenaan telah mula menjalani kuarantin kendiri pada 23 November lalu dan disahkan positif pada 1 Disember.

“Cuma ada satu kes sahaja positif dan pelajar itu pun telah di bawa ke PKRC MITC, jadi saya harap kes ini tidak diperbesarkan yang dikhuatiri akan mencetuskan panik kepada orang ramai.

“Semuanya dalam keadaan terkawal dan saya harap semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing mengekang penularan Covid-19 ini,” katanya.

Ditanya mengenai punca jangkitan pelajar berkenaan, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, ia masih belum ditetahui berikutan banyak kes jangkitan Covid-19 dikesan membabitkan kes sporadik.

“Itulah yang tak tahu mengenai jangkitan Covid-19 ini. Bergantung juga pada antibodi individu, kadang-kadang ada kena awal (simptom) ada yang lambat.

“Kemungkinan dia (pelajar) ada kontak rapat sebelum dia datang (ke asrama) selepas itu baru muncul virus Covid-19 setelah seminggu, ini antara perkara perlunya kepentingan bila ada gejala kita terus kuarantin dan buat saringan.

“Ibu bapa tidak perlu panik kerana saya sebagai Exco Pendidikan akan pantau perkembangan ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Media hari ini melaporkan seramai 71 pelajar dan dua guru sekolah berasrama penuh (SBP) Sekolah Seri Puteri (SSP) di Cyberjaya, disahkan positif Covid-19, setakat pagi tadi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mengesahkan, daripada jumlah itu, seramai 65 pelajar dipindahkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.