contract teachers students school
(Picture for representational purposes only). The Year One students from Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khai Chee, Segambut during their first day of school. PIX: HAFIZ SOHAIMI / MalaysiaGazette /01 MARCH 2021.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK), Wang Heng Suan berkata, silibus Bahasa Melayu sekolah rendah telah diperdalam secara berperingkat selari dengan usaha kerajaan untuk memperkasakan bahasa itu.

Beliau berkata, berbanding Bahasa Melayu yang semakin dalam, mata pelajaran lain tidak tidak menunjukkan perbezaan ketara.

Katanya, di peringkat sekolah menengah pula, subjek Bahasa Melayu juga semakin susah sehingga ada cikgu yang tidak yakin sama ada mereka betul atau sebaliknya dalam perkara tertentu, malahan berlaku perdebatan.

Heng Suan berkata demikian kepada China Press sebagai mengulas laporan bahawa ada cikgu yang berpendapat Bahasa Melayu darjah satu di sekolah rendah seperti Bahasa Melayu tingkatan satu di sekolah menengah.

Mengulas lanjut, Heng Suan berkata, Kementerian Pendidikan selalu mengajak pertubuhan pendidikan termasuk KPPK untuk berdialog semasa mengubah silibus pelajaran.

Katanya, KPPK juga pernah menyeru kerajaan supaya jangan menjadikan Bahasa Melayu terlalu susah, tetapi seruan itu tidak diterima Kementerian Pendidikan.

Ujarnya, KPPK berpendapat pendidikan Malaysia harus mencontohi Jepun di mana pelajaran darjah satu hingga tiga menitikberatkan pendidikan moral dan pendidikan kebersihan yang bukan bersifat akademik.

Jelasnya, fenomena ibu bapa yang terlalu mementingkan akademik termasuk menghantar anak untuk menghadiri tuisyen dan menduduki peperiksaan seawal tadika telah menjadi satu masalah kemasyarakatan.

Katanya, keadaan itu membawa kesan tidak baik kepada pertumbuhan kanak-kanak sehingga mereka tidak dapat mendepani tekanan apabila besar nanti.

“Ibu bapa perlu mengubah mentaliti mereka dan jangan terlalu memberi tekanan kepada anak, tetapi biarlah mereka belajar dengan baik,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.