Ketua Penerangan Bersatu Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan bercakap pada sidang media Perikatan Nasional Melaka di Pejabat Bersatu Hang Tuah Jaya, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 11 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menyarankan kerajaan meneruskan program bantuan  kewangan untuk rakyat dalam bentuk cash transfer yang dimulakan oleh Tan Sri Muhyiddin.

“Segera dan pastikan tiada ketirisan. Pada masa sama, undang-undang berkaitan kawalan harga, kawalan bekalan, dan anti pencatutan mesti dikuatkuasakan sepenuhnya.

“Kegiatan hoarding mesti dibenteras untuk memastikan barang-barang keperluan sentiasa cukup dalam pasaran,” katanya dalam hantaran di laan Facebook.

Tambahnya, pegawai Pemantau Harga juga mesti digerakkan sepenuhnya bagi memastikan tiada golongan oportunis mengambil peluang pada waktu ini.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berada pada kedudukan terbaik untuk mengambil peranan di barisan hadapan dalam menangani kenaikan harga barang yang memberi kesan kepada rakyat.

Katanya, untuk melaksanakan peranan itu, Perdana Menteri boleh memanfaatkan pengalamannya sebagai sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri sebelum ini.

Beliau juga menyarankan kerajaan mempertimbangkan penggunaan teknologi terkini seperti skim pembayaran bantuan melalui sistem digital.

Katanya, langkah itu supaya bantuan kerajaan dapat disampaikan kepada mereka yang sepatutnya, dan juga dibelanjakan untuk tujuan yang sepatutnya.

Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd, Puchong Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 25 JUN 2021.Semalam Ismail Sabri menegur beberapa syarikat yang bertindak menaikkan harga barangan, sebagiamana yang dilaporkan media sebelum ini.

Kenaikan itu dikatakan tidak patut kerana tarif air dan elektrik tidak dinaikkan oleh kerajaan.

Ismail Sabri turut mengarahkan agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat kajian terperinci mengenai kos pengeluaran khususnya produk ais dan roti putih keluaran tempatan.

Kelmarin, media melaporkan syarikat bekalan ais akan menamatkan promosi untuk semua produk ais (ais kisar atau ais ketulan) bermula 1 Disember, bermakna pengeluar akan menaikkan harga sebanyak 50 sen sebungkus

Menerusi satu kenyataan juga, syarikat roti terkemuka, Gardenia KL akan menaikkan harga bagi produknya berikutan peningkatan ketara dalam kos pengeluaran dan bahan yang di luar kawalan. – MalaysiaGazette