Pemain Sabah FC, Amri Yahyah diasak keras pemain KL City FC, Zhafri Yahya pada perlawanan Liga Super 2021 diantara KL City FC menentang Sabah FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Pemain berpengalaman, Amri Yahyah kekal beraksi bersama pasukan Sabah FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan sekaligus bakal bermain pada usia 41 tahun.

Sabah membuat satu pengumuman menerusi laman media sosial rasmi pasukan baru-baru ini yang memaklumkan Amri menandatangani kontrak lanjutan selama setahun.
“Usia 41 tahun hanyalah angka! Sentiasa memberikan 100 peratus, mempunyai visi, dedikasi, motivasi dan karakter yang sentiasa padu setiap kali diturunkan.

“Beraksi hampir di setiap perlawanan dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia musim ini selain menjadi penjaring terbanyak untuk pasukan Sabah FC, Wak Am selayaknya dikekalkan pada musim hadapan!” kata kenyataan Sabah FC.

Amri menyertai Sabah pada musim lalu selepas meninggalkan satu lagi kelab dari Borneo iaitu Sarawak United.

Meskipun menginjak usia 40 tahun, Amri sentiasa menjadi pilihan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama dan beliau juga pernah dipilih sebagai ketua pasukan dalam beberapa perlawanan.

Selain Amri, beberapa pemain dari skuad musim lalu turut dikekalkan seperti pemain pertahanan, Nazirul Naim dan bekas penyerang skuad B-23 tahun negara, N.Thanabalan.

Bagi menghadapi saingan musim 2022, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu membawa masuk beberapa pemain berprofil tinggi dan berpengalaman luas bagi memperkuatkan pasukan.

Antara pemain baharu yang ditandatangani oleh Sabah ialah bekas ketua pasukan sekaligus legenda Kedah Darul Aman, Baddrol Bakhtiar dan rakan sepasukan, Rizal Ghazali.

Selain itu, Sabah turut membawa masuk bekas penjaga gol Negeri Sembilan, Damien Lim, penyerang muda meningkat naik, Azhad Harraz Arman yang beraksi bersama Skuad Projek FAM-MSN dan beberapa pemain lain seperti Dirga Surdi, Badrul Affendy dan Umareng Bacok.

Melihat kepada barisan pemain yang dikekalkan dan dibawa masuk, Sabah mampu untuk menjadi antara pasukan pencabar dalam saingan Liga Super musim hadapan.

Dalam saingan musim 2021, Sabah menamatkan saingan Liga Super di tangga ke sembilan dan hanya mampu menamatkan saingan Piala Malaysia di peringkat kumpulan. – MalaysiaGazette