Dewan Undangan Negeri Sabah, Kota Kinabalu, Sabah. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 13 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Sabah akan membentangkan Belanjawan Negeri 2022 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadual berlangsung pukul 3 petang ini.

Menerusi perkongsian di Facebook, Ketua Menterinya, Datuk Hajiji Noor memaklumkan, beliau telah menerima Buku Belanjawan Negeri daripada Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri Sabah, Datuk Rusdin @ Musidi Riman, semalam.

Menurutnya, penyerahan buku belanjawan itu amat mustahak kerana ia melibatkan dokumen belanjawan negeri yang menggariskan segala inisiatif, usaha serta langkah yang akan diambil oleh kerajaan pada tahun depan dalam memulih dan menjana semula ekonomi negeri berikutan kesan dialami akibat pandemik Covid-19 bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

“Bersama kita saksikan usaha, inisiatif dan langkah yang telah dirangka oleh kerajaan bagi memulihkan dan menjana semula ekonomi negeri menerusi belajawan tahun hadapan demi kemakmuran dan kesejahteraan semua rakyat Sabah.

“Orang ramai boleh menyertai pembentangan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi saya secara langsung,” katanya yang juga Menteri Kewangan negeri.

Beliau turut berharap agar pembentangan belanjawan negeri itu akan berlangsung dengan lancar dan dipermudahkan oleh Allah SWT. – MalaysiaGazette