Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin membuat gimik penyempurnaan Majlis Pelancaran Pameran Antarabangsa Defence Services Asia (DSA) Tahun 2022 di The State Room, St. Regis, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 03 DECEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Penganjuran Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 yang berlangsung pada 28 hingga 31 Mac depan penting  kerana menyediakan platform kepada kerajaan memperkukuhkan kedudukannya di mata dunia.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, DSA 2022 yang pertama kali dianjurkan bersama Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2022 itu juga merupakan peluang kepada kerajaan untuk membuktikan kepimpinannya kepada negara luar.

Walaupun dianjurkan dalam normal baharu, kementerian, katanya, komited memberi sokongan demi mempromosikan pada peringkat serantau dan antarabangsa.

“Kementerian terus menyokong siri Perkhidmatan Pertahanan Asia atau DSA dwitahunan ini kerana ia menyediakan agenda serantau dan global yang lebih tinggi.

“Berdasarkan pengalaman peribadi saya bertemu rakan sejawatan saya dari seluruh dunia yang sebelum ini tanpa pertemuan bersemuka dan hanya melalui persidangan video dan sidang kemuncak maya.

“Satu-satunya jalan ke hadapan adalah menerima kenyataan bahawa virus Covid-19 itu akan kekal dan kita mesti belajar untuk hidup dengan virus.

“Sambil kita mengambil pendekatan yang berhati-hati dan selamat, saya memuji penganjur kerana mengambil inisiatif untuk menjalankan siri DSA dan NATSEC Asia sebagai acara hibrid yang pertama bersejarah sejak dimulakan.

“Selaras dengan norma baharu, kemajuan teknologi dan ketersambungan, DSA 2022 dan NATSEC Asia 2022 akan dilengkapi dengan platform maya sebagai komponen nilai tambah untuk membantu peserta mengakses kandungan sebelum, semasa dan selepas persembahan,” katanya ketika berucap majlis pelancaran majlis pelancaran DSA 2022 dan NASTEC 2022 di sini hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Sementara itu, kedua-dua pameran itu akan diadakan di
Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Sehingga hari ini, kira-kira 70 peratus daripada tempahan ruang di DSA 2022 dan NATSEC 2022 telah disahkan.

Lebih 1,170 syarikat daripada sektor pertahanan dan keselamatan global dari lebih 54 negara dan wilayah dijangka hadir termasuk 37 pavilion antarabangsa melibatkan kira-kira 350 delegasi VIP daripada 45 negara dan 40,000 pelawat dari 50 negara dan wilayah.

Mengulas lanjut mengenai kemunculan varian baharu Omicron, Hishammuddin menjelaskan, ia masih terlalu untuk menentukan penganjuran DSA 2022 dan NATSEC 2022 diteruskan atau sebaliknya.

Tambah beliau, mandat telah diberikan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membendung penularan varian baharu itu.

“Nasihat saya kepada penganjur mulai hari ini agar bekerjaama rapat dengan KKM untuk mendapat maklum balas.

“Ini kerana sekiranya kes meningkat dan tidak jejas kesihatan selain kesan dari segi vaksin yang positif, ia terlalu awal untuk ditentukan,” katanya. – MalaysiaGazette