Mohd Shaid Rosli.

SHAH ALAM – Gara-gara menegur Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Mohd Shaid Rosli (Pejuang-Jeram) diberi amaran terakhir oleh Ng Suee Lim agar tidak memandai-mandai membuat prasangka buruk terhadapnya.

Mohd Shaid membuat tguran itu  selepas Suee Lim meminta Muhammad Hilman Idham (Bersatu-Gombak Setia) duduk, kerana celahannya yang terlalu panjangketika  penggulungan Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pertanian dan Perladangan dan Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim.

Sambil menunjukkan beberapa fakta berdasarkan audit dan laporan pihak berwajib, celahan Muhammad Hilman terlajak panjang sehingga ditegur oleh Suee Lim yang sebelum itu membenarkannya bangun bertanya mengenai syarikat Landasan Lumayan Sdn. Bhd. (LLSB) dengan seringkas mungkin.

Bagaimanapun, pertanyaan itu seolah bertukar menjadi penerangan sehingga mengambil masa yang diperuntukan kepada Ir. Izham untuk sesi penggulungan.

Namun, Mohd Shaid bangun meminta Speaker tidak mengganggu hujahan Muhammad Hilman kerana ia dibangkitkan dengan fakta.

“Saya tidak halang Gombak Setia bertanyakan soalan, tetapi hujahannya terlalu panjang dan telah mengambil masa penggulungan Exco.

“Saya beri amaran terakhir kepada Jeram, saya cabar (jika tegur lagi),” tegas Suee Lim ketika mempengerusi persidangan DUN Selangor bagi sesi penggulungan di sini, hari ini.

Dalam celahan itu, Muhammad Hilman mempersoalkan bagaimana syarikat yang meminjam RM45 juta, tetapi mengalami kerugian antara RM40 hingga RM50 juta boleh berbelanja besar untuk kos operasi syarikat.

Sambil menunjukkan beberapa dokumen mengenai perkara itu, Gombak Setia turut mendedahkan laporan audit dari Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) yang menegur tindakan LLSB.

Kata beliau, antara teguran daripada audit MBI itu adalah berkaitan ketidaktentuan bayaran balik pinjaman RM45 juta LLSB kepada kerajaan negeri, sedangkan prestasi perkhidmatan yang ditunjukkan seperti operai kebersihan Sungai Klang dan sampah agak lemah.

“Syarikat ini pinjam RM45 juta dengan kerajaan negeri, tapi rugi RM40 hingga RM50 juta.

“Dalam menanggung kerugian pun pada tahun 2019 hingga 2020, syarikat membuat empat perkara di luar jangkaan.

“Pertama, syarikat bayar bonus empat bulan gaji kepada kakitangan yang layak; kedua, mencadangkan kenaikan gaji sebanyak enam peratus 2020; ketiga, bayaran elaun RM10,000 kepada kakitangan perkhidmatan kontrak; dan keempat, memperuntukkan RM30,000 untuk retreat dan sebagainya serta bayaran token RM10,000 kepada setiap Ahli Lembaga Pengarah,” katanya.

Muhammad Hilman tidak puas hati dengan jawapan Ir. Izham yang menyatakan LLSB mendapat penghormatan dan penghargaan atas perkhidmatan ditunjukkan.

Tegas beliau, bagaimana syarikat yang alami kerugian dan lemah dari segi perkhidmatan, serta menanggung hutang yang besar boleh mendapat penghormatan dan penganugerahan dari kerajaan negeri. – MalaysiaGazette