Mohd Wazir Mohd Yusof

PEKAN – Hasrat seorang pengawal keselamatan untuk memiliki Toyota Harier  dan Honda Civic bukan sahaja berkecai malah dia terpaksa berputih mata apabila wang miliknya sebanyak RM12,240 lesap ditipu sindiket jual beli kereta di laman Facebook.

Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa terpedaya dengan iklan menerusi Facebook dan berhubung dengan suspek melalui talian Whatsapp.

“Selepas pesetujuan dicapai pengadu telah berminat untuk membeli kereta Toyota Harrier 2.0 Premium Sunroof Black 2015 dengan harga RM24,000 dan Honda Civic dengan harga RM17,000 secara ansuran.

“Kemudian pengadu dikehendaki membuat bayaran melibatkan 10 kali transaksi bermula 7 September sehingga 1 Disember 2021.

“Dia membuat enam kali pembayaran bagi pembelian Toyota Harier iaitu deposit pinjaman, pembayaran insurans, urusan cukai jalan, pertukaran nama hak milik, duti kastam dan kos ‘towing’,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Wazir, empat lagi transaksi urusan pembelian Honda Civic melibatkan bayaran wang pendahuluan serta pembayaran insurans kenderaan.

Katanya, pengadu mula berasa tertipu apabila penjual tidak berhenti meminta wang daripadanya  sedangkan kereta yang dibeli sehingga kini belum diperolehi.

Menyedari dirinya telah ditipu, pengadu hadir ke Balai Polis Kuantan untuk membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat serta denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette