Nur Iman Haiqal perlukan bantuan jalani pembedahan jantung buat kali ketiga di Hospital Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan memerlukan bantuan bagi menjalani pembedahan jantung buat kali ketiga di Hospital Pulau Pinang di sini.

Menurut Mashelmi Abd Malek, 40, anaknya, Nur Iman Haiqal yang dilahirkan pada September lalu terpaksa dikejarkan ke hospital bagi menjalani angioplasty (pembedahan jantung) pada November lepas.

Dia yang juga bekas pemandu lori berkata, doktor mengesahkan paras oksigen dalam darah anak bongsunya itu rendah ketika menerima rawatan sebelum mereka memutuskan untuk menjalani pembedahan jantung buat kali kedua.

“Alat sten dimasukkan ke salur darah di dalam jantung anak saya sebagai pendekatan sementara dan dia kini memerlukan pembedahan ketiga bagi menyelamatkan nyawanya.

Mashelmi bersama isterinya (Hazarita Arshad) menunjukkan gambar anak bongsu mereka yang kini dirawat di NICU.

“Saya dan isteri tidak mampu membiayai kos pembedahan kali ini yang berjumlah RM85,000 memandangkan hanya isteri saja bekerja dengan pendapatan RM3,000 sebulan di sebuah kilang di negeri ini.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai pemandu lori namun selepas kematian ibu, kami tidak mampu membayar yuran pengasuh untuk empat lagi anak membuatkan saya nekad berhenti kerja untuk menggalas tugas menjaga mereka di rumah,” katanya hari ini.

Tambah Mashelmi, anaknya kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) bagi bantuan pernafasan.

Nasib yang dialami keluarga itu turut mendapat perhatian daripada pertubuhan kebajikan, One Hope Charity and Welfare (One Hope Charity).

Sementara itu, Pengerusi pertubuhan kebajikan, One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihak keluarga memberi kebenaran kepada mereka untuk mengumpul kos perubatan dari orang awam sekali gus menguruskan rawatan Nur Iman Haiqal dengan pihak hospital.

Kata beliau, pakar jantung mengesahkan nyawa bayi berkenaan terancam susulan injap jantungnya terbalik sekali gus memerlukan dia menjalani pembedahan.

“Kos pembedahan dianggarkan berjumlah RM85,000 dan pembedahan ketiga itu perlu dijalankan segera sebagai pelengkap untuk memperbetulkan aliran oksigen dalam salur darah yang berhubung dengan jantung.

“Sehubungan itu, sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun bank One Hope Charity & Welfare 3193433435 (Public Bank) atau menerusi laman sesawang www.onehopecharity.org.

“Selain itu, orang ramai boleh menghubungi talian 016 419 2192, 019 232 2192 atau 04 539 9212 untuk maklumat lanjut,” kata beliau. – MalaysiaGazette