Antara kenderaan berkonvoi dalam satu Himpunan Rakyat Tuntut Tiga anjuran Biro Kepenggunaan Parti Pejuang dengan menampal notis 'Rakyat Tuntut Tiga' bagi membantah kenaikan harga barang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di hadapan pusat membeli belah Pavilion, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 03 DECEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Konvoi Himpunan Rakyat Tuntut Tiga anjuran Biro Kepenggunaan Parti Pejuang di hadapan pusat beli-belah Pavilion di sini petang tadi tidak mendapat sambutan.

Tinjauan mendapati orang ramai akur dengan penguatkuasaan Pelan Pemulihan Negara Fasa 4 yang masih melarang berhimpun beramai-ramai.

Akbatnya penganjur menukar strategi dengan meluahkan mesej Rakyat Tuntut Tiga dari dalam kenderaan sahaja.

Sekitar pukul 5.45 petang, hanya empat kenderaan termasuk kereta pacuan empat roda yang muncul dengan tertampal pelekat ‘KPDNHEP Henti Kaji Lebihkan Kerja’.

Bagaimanapun sepasukan anggota polis yang bertugas di lokasi berkenaan menghalang kenderaan itu daripada berhenti.

Antara kenderaan berkonvoi dalam satu Himpunan Rakyat Tuntut Tiga anjuran Biro Kepenggunaan Parti Pejuang bagi membantah kenaikan harga barang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di hadapan pusat membeli belah Pavilion, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 03 DECEMBER 2021.

Tiga kenderaan itu kembali konvoi tiga pusingan di kawasan sama sebelum beredar.

Tindakan itu bertujuan bagi menyuarakan keluhah rakyat serta tuntutan kepada KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) supaya memandang serius isu kenaikan harga barang dan mahu kerajaan mengambil tindakan proaktif bagi mengawal keadaan itu.

Sementara itu, sambutan konvoi yang sama kemudiannya bergerak ke kawasan pusat beli-belah Sogo namun tetap tidak mendapat perhatian orang-ramai.

Kehadiran empat kenderaan yang menyertai konvoi itu termasuk dua pacuan empat roda dan dua kereta Proton sedan tidak disedari orang ramai kerana hanya mempamerkan poster sebesar kertas A4 yang dilekatkan di pintu kenderaan.

Antara kenderaan berkonvoi dalam satu Himpunan Rakyat Tuntut Tiga anjuran Biro Kepenggunaan Parti Pejuang dengan menampal notis ‘Menteri Hentikan Komen Tidak Sensitif’ bagi membantah kenaikan harga barang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di hadapan pusat membeli belah Pavilion, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 03 DECEMBER 2021.

Tinjauan di sekitar Kompleks Beli-Belah Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman mendapati, keempat-empat kenderaan itu hanya melalui pusat beli-belah itu sambil membunyikan hon ke arah para petugas media dan polis tanpa memberhentikan kenderaan mereka.

Malah konvoi bantahan kenaikan harga barang yang diketuai Ahli Majlis Eksekutif Pusat Pejuang, Abu Bakar Yahya itu turut membuat dua pusingan sebelum beredar kira-kira jam 6.30 petang berlalu tanpa memberi kesan kepada orang ramai.

Terdahulu, kira-kira 20 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi mula kelihatan membanjiri luar pekarangan Kompleks Beli-Belah Sogo kira-kira pukul 4 petang tadi.

Satu notis amaran diletakkan untuk mengosongkan pekarangan pusat membeli belah Sogo bagi menghalang mana-mana pihak menyalahgunakan kawasan itu untuk tujuan demontrasi pada Himpunan Rakyat Tuntut Tiga anjuran Biro Kepenggunaan Parti Pejuang membantah kenaikan harga barang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 03 DECEMBER 2021.

Malah pekarangan Kompleks Beli-Belah Sogo juga ditutup menggunakan pita berwarna merah putih kepada semua akses oleh pihak keselamatan pasaraya itu dengan meletakkan notis melarang duduk, berkumpul dan menjalankan sebarang aktiviti di kawasan itu.

Bagaimanapun tiada insiden tidak diingini berlaku di lokasi memandangkan polis berada di kawasan sehingga pukul 7 malam sebelum konvoi berkenaan beredar.- MalaysiaGazette