garbage disposal solid waste landfill Selangor
Ng Sze Han

SHAH ALAM – Penghasilan sisa pepejal di Selangor yang meningkat kira-kira tiga peratus setiap dua tahun, memberi kesan kepada kerajaan negeri dalam mencari kaedah terbaik untuk proses pelupusan.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, dua kaedah pelupusan lain menerusi syarikat swasta tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan negeri terpaksa menggunakan kaedah tapak pelupusan yang dilihat dapat mengatasinya, walaupun bukan sepenuhnya.

“Pada masa ini, semua sisa pepejal di Selangor dilupuskan dengan menggunakan kaedah secara tapak pelupusan.

“Dalam hal ini, kerajaan negeri perlu menyediakan anggaran tanah seluas 900 ekar untuk tujuan pelupusan sisa pepejal bagi tempoh 30 tahun,” katanya menjawab soalan Elozabeth Wong (DAP-Bukit Lanjan) dalam sesi pertanyaan lisan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Menurut Tze Han, kerajaan negeri menyedari masalah pelupusan sampah yang perlu ditangani segera melalui penggunaan teknologi.

Ini, katanya, kerana Selangor mengalami kekurangan tanah yang sesuai untuk dibangunkan sebagai tapak pelupusan yang baru.

“Ditambah pula dengan faktor peningkatan penghasilan sisa pepejal di Selangor setiap dua tahun yang berpunca daripada pertambahan penduduk serta pembangunan yang semakin pesat,” katanya. – MalaysiaGazette