Orang ramai beratur untuk mendapatkan vaksin covid-19 - Foto BBC News

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) telah mengumumkan semua penumpang antarabangsa perlu membuat ujian Covid-19 dalam 24 jam sebelum mereka berlepas ke negara berkenaan.

Keperluan itu tidak mengira status vaksinasi mereka, kata Presiden AS, Joe Biden.

Keperluan pemakaian topeng muka di dalam pesawat, kereta api dan bas akan dilanjutkan sehingga Mac.

AS juga akan berusaha untuk menyediakan berjuta-juta ujian di rumah secara percuma melalui syarikat insurans swasta untuk mereka yang mempunyai perlindungan.

Manakala bagi yang tidak mempunyai insurans boleh melalui pusat kesihatan dan klinik desa.

Menurut laporan BBC News, lebih 40 juta rakyat AS telah menerima dos penggalak namun terdapat hampir 100 juta lagi layak tetapi masih belum mengambilnya.

Beratus-ratus klinik vaksinasi keluarga akan didirikan di seluruh negara dalam usaha untuk meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

AS dan beberapa negara lain telah melarang perjalanan dari lapan negara Afrika selatan.

Pakar kesihatan berkata sekatan perjalanan akan memberi mereka masa untuk mengkaji varian baharu omicron.

Sebelum ini, kes membabitkan varian baharu itu telah dikesan di California, Colorado, Minnesota, New York dan di Hawaii.

Menurut laporan, varian itu kini telah ditemui sehingga di 30 negara.- BBC News