Kesemua lapan kontak rapat kes pertama varian Omicron telah dipanggil untuk menjalani saringan.

PUTRAJAYA – Seorang pelajar perempuan dari Afrika Selatan disahkan kes pertama positif Covid-19 varian Omicron di negara ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kes merupakan seorang pelajar berusia 19 tahun yang menuntut di sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak.

Katanya, dia tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November lalu dan telah menjalani ujian RT PCR Covid-19 sejurus tiba di Pintu Masuk Antarabangsa Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Beliau, Sejak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan varian yang dibimbangi (variant of concern – VOC) Omicron pada 24 November 2021, IMR mula menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas semua sampel positif yang disaring di pintu masuk antarabangsa (PMA) KLIA sebagai inisiatif tambahan kepada kajian berterusan jujukan genom penuh (whole genome sequencing – WGS).

“Sehubungan itu, IMR telah menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas 74 sampel positif COVID-19 yang dikesan di KLIA dari tempoh 11 November 2021 hingga 28 November 2021. Ujian PCR Genotyping Assay dijalankan bagi mendapatkan keputusan awal jenis varian.

“Hasil daripada ujian PCR Genotyping Assay, satu daripada sampel (pelajar Afrika Selatan) telah dikesan berkemungkinan besar adalah VOC Omicron. Jujukan genom seterusnya dilaksanakan mendapati keputusan positif bagi varian Omicron pada 2 Disember 2021,” katanya dalam sidang media khas perkembangan Omicron di kementerian hari ini.

Menurut Khairy, kes tersebut telah diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan menjalani kuarantin wajib di penginapan sebuah apartmen yang disediakan oleh pihak universiti di Ipoh.

Tambah beliau, perjalanan kes dari KLIA ke Ipoh adalah menggunakan bas yang disediakan khas oleh pihak universiti.

“Kes menjalani kuarantin wajib seorang diri selama 10 hari di penginapan tersebut dan berdasarkan siasatan yang dijalankan, beliau patuh kepada perintah yang dikeluarkan kes juga telah menerima vaksinasi lengkap dan tidak bergejala sepanjang tempoh kuarantin itu dan tidak keluar mana-mana.

“Institut Penyelidikan Perubatan (Institute for Medical Research – IMR) telah mengesahkan sampel ujian saringan tersebut positif Covid-19 dengan CT Value 26.68 pada 20 November 2021.” katanya lagi.

Tambah beliau, pelajar itu meneruskan pengasingan di rumah yang sama selama 10 hari dan diberi pelepasan pada 29 November 2021 yang mana telah dipotong gelang di Pejabat Kesihatan Darah Kinta, Ipoh.

Ujar Khairy, pengesanan kontak rapat telah dijalankan ke atas semua penumpang bas dan pemandu iaitu seramai lima orang.

Menurut beliau, mereka telah menjalani saringan ujian Covid-19 dan kuarantin wajib dan ujian sampel pertama dan kedua ke atas semua kontak rapat disahkan negatif.

Jelasnya, dua pelajar yang merupakan rakan serumah (pelajar) kes berkenaan juga telah diarahkan untuk tinggal rumah lain elak bercampur dengan kes supaya tidak berjangkit.

“Kes juga lengkap dua dos vaksin Pfizer di Malaysia pada 29 September lalu sewaktu beliau belajar di sini sebelum balik ke Afrika Selatan untuk melawat keluarganya.

“Malah sepanjang tempoh kuarantin kendiri di apartmen penginapan itu, tidak ada apa apa simptom atau gejala yang dikesan pada pelajar tersebut.

“Hari ini kita telah memanggil semula kesemua lapan orang yang dikenalpasti sebagai kontak rapat kes berkenaan iaitu  pelajar Afrika Selatan itu, pemandu bas, kakitangan pengurusan univerisiti pelajar serta kedua-dua rakan serumah untuk menjalani saringan RT-PCR dan kesemua mereka masih tidak bergejala,” ujarnya.

Ahli Parlimen Rembau itu juga menegaskan bahawa pihaknya juga telah mengesan kontak rapat penumpang yang ada bersama kes dalam pesawat semasa tiba di KLIA untuk tindakan lanjut.-MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Macam mana pelajar dari benua Afrika boleh dibenarkan masuk ke Malaysia??? Sepatutnya disekat laaa…hadooiii

Comments are closed.