Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Prestasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Malaysia adalah baik biar pun berhadapan dengan pandemik Covid-19 pada 2020.

Bagaimanapun, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed terdapat indikator yang terjejas akibat krisis kesihatan yang melanda seluruh dunia itu.

Katanya, berdasarkan 146 indikator, 49 indikator (34%) bertambah baik, 34 indikator (23%) tidak berubah, manakala 41 indikator (28%) menurun.

Bakin 22 indikator (15%) pula adalah indikator yang tidak boleh diukur dengan statistik (non-statistical indicators).

“Antara indikator yang bertambah baik ialah kualiti udara dan air, kes jenayah menurun, penggunaan internet meningkat, peningkatan wanita dalam jawatan pengurusan dan insiden kecederaan pekerjaan yang boleh membawa maut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, indikator yang merosot akibat pandemik Covid-19 pula ialah kadar pertumbuhan tahunan KDNK per kapita, bilangan penumpang di lapangan terbang serta kadar kemiskinan mutlak dan pengangguran.

Katanya, pandemik telah memberikan kesan kepada tiga dimensi SDG iaitu sosial, ekonomi dan alam sekitar seterusnya memberi cabaran kepada negara dalam mencapai Agenda 2030.

Mustapa bekata, bagi dimensi ekonomi Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 menyebabkan aktiviti ekonomi serta sosial terjejas.

Selain itu, Covid-19 juga telah membawa perubahan gaya hidup kepada penggunaan teknologi digital dan internet berikutan norma penjarakan sosial, pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), bekerja dari rumah (BDR) dan pelaksanaan PKP di seluruh negara.

“Hal ini menyebabkan peratusan individu yang menggunakan internet telah meningkat daripada 84.2 peratus pada 2019 kepada 89.6 peratus pada 2020,” katanya.

Bagi dimesi sosial, insiden kemiskinan mutlak menunjukkan peningkatan daripada 5.6 peratus pada 2019 kepada 8.4 peratus pada 2020 kesan daripada pandemik Covid-19.

Pengukuran ini adalah berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional iaitu RM2,208 sebulan.

Bilangan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat pula meningkat kepada 623,800 berbanding 561,700 pada 2019. Bantuan ini meliputi 11 jenis bantuan kepada kanak-kanak, orang tua dan orang kurang upaya.

Bagi aspek keselamatan, bilangan jenayah kekerasan telah menurun kepada 253 kes pembunuhan pada 2020 berbanding 310 kes pada 2019.

Beliau turut merujuk kepada dimensi alam sekitar di mana kualiti udara bagi purata tahunan tahap habuk halus bersaiz 2.5 mikron (PM2.5) di bandar bertambah baik kepada 14 µg/m3 pada 2020 berbanding 23 µg/m3 (2019).

Namun begitu, kuantiti buangan klinikal pada 2020 telah menunjukkan peningkatan sebanyak 18.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Peningkatan ini sebahagiannya disebabkan oleh pertambahan sisa buangan daripada fasiliti kesihatan seperti peralatan perlindungan diri (PPE) yang digunakan dalam pengendalian pesakit Covid-19.

Katanya, Malaysia telah mencapai kemajuan yang ketara dalam mengarus perdanakan SDG dalam perancangan pembangunan negara.

Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe- 11), Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan Bajet 2022 telah dijajarkan kepada SDG.

“Kerjasama semua agensi kerajaan penting untuk memahami, menghayati dan melaksanakan matlamat pembangunan mampan di peringkat negeri, daerah pentadbiran dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini mengeluarkan Laporan Indikator SDG siri ketiga.

SDG telah dilancarkan pada tahun 2015 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan diterima pakai oleh 192 negara anggota.

Ia menjadi panduan untuk kerajaan merangka dasar bagi memastikan masa depan yang mampan. Ini merangkumi semua cabaran pembangunan dunia moden, termasuk ekonomi, sosial, dan alam sekitar.

Kekuatan Agenda Pembangunan Mampan 2030 adalah pendekatan yang komprehensif bagi menyelaras dasar pembangunan dan pada masa yang sama, memastikan tiada sesiapa pun yang tertinggal. – MalaysiaGazette