Michael Carrick. Foto Manchester Evening News.

LONDON – Michael Carrick akan meninggalkan Manchester United selepas tiga aksi selaku pengurus sementara selepas kemenangan 3-2 ke atas Arsenal awal pagi tadi di Old Trafford, lapor ESPN.

Bekas pemain tengah itu berjaya kembali membawa  Red Devils kepada prestasi selepas pemecatan Ole Gunnar Solskjaer dua minggu lalu.

Ia dibuktikan menerusi kejayaan empat mata daripada dua saingan Liga Perdana berdepan Arsenal dan Chelsea selain mara ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Carrick adalah sebahagian daripada staf kejurulatihan Solskjaer dan dikritik bekas pemain tengah United, Paul Scholes dan Roy Keane kerana kekal di kelab itu selepas pemecatan pengendali dari Norway itu.

Sementara itu, pemangku pengurus baharu, Ralf Rangnick menyaksikan kemenangan ke atas Arsenal itu dari tempat duduk penonton di Old Trafford dan secara rasmi akan mengambil alih tugas hari ini.

“Ketika kali pertama saya di sini 15 tahun lalu, saya tidak pernah membayangkan akan menang begitu banyak trofi dan saya pastinya tidak akan lupa memori menakjubkan sebagai pemain dan staf kejurulatihan.

“Bagaimanapun selepas banyak berfikir, saya mengambil keputusan ini adalah masa yang sesuai buat saya meninggalkan kelab.

Carrick bermain 464 perlawanan buat United antara 2006 dan 2018, menang lima gelaran Liga Perdana, Piala FA, dua Piala Liga, Liga Juara-Juara, Piala Europa dan Piala Kelab Dunia.

Dia menyertai staf kejurulatihan pasukan utama selepas bersara pada 2018 dan berkhidmat di bawah Jose Mourinho dan Solskjaer. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast