Dr Muhamad Akmal Saleh Pulau Gadong Covid-19 cluster Melaka state election tahfiz centre madrasah Kolej Vokasional Melaka Tengah Covid-19 cluster Jalan Tun Telani Cluster students vocational college HFMD hand foot and mouth disease infectious
Dr Muhamad Akmal Saleh

JASIN – Sekolah Menengah Tahfiz Al Quran (JAIM) Chenderah di sini diarahkan tutup sementara berikutan 13 kes baharu positif Covid-19 yang membabitkan warga sekolah berkenaan.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, arahan tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 18 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), bagi tujuan pembersihan dan disinfeksi.

Menurut beliau, penutupan itu menjadikan sekolah kedua di Melaka yang ditutup sejak sesi persekolahan bermula 1 November lalu.

Jelasnya, keseluruhannya, ujian saringan PCR mendapati sembilan individu, iaitu enam pelajar, pengetua, guru penolong kanan dan kerani disahkan positif manakala empat pelajar positif ujian RTK menjadikan keseluruhan 13 positif.

Kes jangkitan di sekolah berkenaan katanya, dikenalpasti pada 29 November lalu membabitkan guru penolong kanan yang berusia 53 tahun melalui saringan yang dijalankan di sebuah klinik swasta di Jasin.

“Indeks kes telah mula bergejala sejak 25 November lalu dan kes merupakan kontak rapat kepada pengetua sekolah tersebut yang merupakan indeks kes bagi penularan jangkitan ini.

“Berikutan kes ini, saringan telah dilakukan terhadap kontak rapat iaitu 13 guru dan 39 pelajar Tingkatan 5. Semua pelajar dikuarantin di blok berasingan sekolah,”katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan di sekolah berkenaan di sini hari ini.

Jelasnya, melalui saringan PCR, seramai enam lagi kes positif telah dikenalpasti dalam kalangan pelajar dan seorang staf pengurusan positif.

Kesemua pelajar berkenaan katanya telah diarahkan kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh MITC.

“Berikutan penulan ini, penutupan operasi sekolah dan juga semua aktiviti percampuran di asrama diaktifkan serta merta selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 10 Disember,” katanya.

Tambahnya, dalam tempoh itu kesemua pelajar perlu berada di dorm masing-masing dan aktiviti solat berjemaah dihentikan.

SM Tahfiz Al-Quran Chenderah mempunyai seramai 53 orang staf terdiri daripada guru, staf sokongan, dan warden dan 20 pekerja swasta.

Terdapat 209 orang pelajar lelaki kesemuanya tinggal di asrama yang pecahannya mengikut tingkatan dan dorm. – MalaysiaGazette