Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berucap pada Persidangan Perwakilan Nasional Ke-50 Parti Gerakan Rakyat Malaysia di Menara PGRM, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 04 DECEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menerima sepenuh hati keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang tidak menyebelahi parti itu, baru-baru ini.

Presidennnya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, pihaknya telah berusaha sedaya upaya untuk mencapai kemenangan namun, disebabkan agihan kerusi di peringkat Perikatan Nasional (PN) ia memungkin parti itu tewas di semua lima kerusi yang ditandingi.

Bagaimanapun, Dominic berkata, menerusi kerusi yang ditandingi itu juga beliau yakin nama parti Gerakan dan Perikatan Nasional diterima rakyat di Melaka.

“Walaupun kita kalah tapi hendak saya katakan bahawa kita berjaya mendapatkan sokongan yang minimum…oleh itu kita akan teruskan kerja kita,” katanya pada sidang media selepas Perasmian Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), di sini, hari ini.

Dominic menjawab pertanyaan media berhubung kenyataan bekas Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Jason Loo, yang mempersoalkan kecekapan beliau sebagai presiden parti susulan kekalahan pada PRN Melaka 20 November lepas.

Menurut Loo, Dominic tidak bertanggungjawab atas kekalahan parti Gerakan pada pilihan raya itu, yang mana tidak ada kerusi yang dimenangi daripada lima kerusi yang ditandinginya di bawah panji PN.

Mengulas lanjut Dominic berkata, parti Gerakan telah melakukan post mortem terhadap keputusan PRN Melaka dan melihat terdapat kekuatan yang perlu dikekalkan.

Ujarnya, meskipun terpaksa berkempen dalam norma baharu pada PRN tersebut dengan menggunakan media sosial tetapi beliau tahu bahawa kebanyakan yang menonton bukanlah pengundi di Melaka.

“Mereka itu bukan pengundi di Melaka…oleh itu hendak saya katakan kekuatan kita saya rasa berada di landasan yang betul.

“Kelemahan itu kita tak sasarkan kepada pengundi di Melaka…jadi kita akan perkuatkan dari segi sasaran secara berkumpulan kepada pengundi pada PRU15 nanti,” ujarnya. – MalaysiaGazette