Dua maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan di Kampung Kumpulan, Jalan Ulu Melaka, Langkawi.

LANGKAWI – Dua individu termasuk pelajar Tingkatan Empat maut selepas motosikal yang ditungangi masing-masing bertembung di Kampung Kumpulan, Jalan Ulu Melaka di sini, malam tadi.

Mangsa, warga Myanmar, Anas Ali, 28, dan pelajar, Ku Nur Shahrizal Ku Nor Sazali, 16, masing-masing menunggang motosikal jenis Honda Wave dan Yamaha LC135 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 malam itu turut menyebabkan seorang wanita berusia 20 tahun serta kanak-kanak berusia lima tahun cedera parah.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kemalangan berlaku ketika Anas bersama dua pembonceng dalam perjalanan dari arah Ulu Melaka menghala ke Ayer Hangat dikatakan bertembung dengan motosikal yang ditunggang Ku Nur Shahrizal.

“Ku Nur Shahrizal dikatakan datang dari arah bertentangan dan mereka dipercayai bertembung secara berhadapan

“Akibat impak pertembungan itu, kedua-dua penunggang mengalami kecederaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Manakala, dua pembonceng masing-masing wanita dan kanak-kanak pula dihantar ke Hospital Sultanah Maliha untuk rawatan selepas tercampak kira-kira 10 meter daripada lokasi kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Shariman Ashari, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke hospital sama untuk proses bedah siasat.

“Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata beliau. – MalaysiaGazette