Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO yakin generasi muda mampu menilai berhubung dakwaan kenaikan harga barangan yang berlaku pada hari ini dikaitkan dengan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi percaya generasi muda hari ini berpengetahuan untuk menilai sama ada dakwaan itu berasas atau sekadar pembohongan.

“Secara literal tiada logik ekonomi bagaimana kemenangan BN di sebuah negeri boleh dikaitkan dengan kenaikan harga barang.

”Walhal ia merupakan permasalahan global berikutan peningkatan kos serta kesan permintaan dan penawaran,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Sebaliknya, beliau menegaskan kenaikan harga barangan yang berlaku menjadi permasalahan berat disebabkan ketiadaan dasar kontingensi kerajaan 22 bulan dan 17 bulan.

Justeru, tambah beliau, sematkan keyakinan bahawa pengundi muda tidak semudah itu dipermainkan dan teruskan usaha mendekati serta memperlihatkan kebenaran kepada mereka.

Ahmad Zahid berkata, pengundi muda pasti bersama BN jika mereka mengetahui tentang sumbangan dan jasa besar kerajaan BN kepada rakyat dan negara.

Malah, pengundi muda pasti meyakini BN andai mereka sedari kerajaan BN adalah “arkitek” kepada segala kemudahan yang sedang mereka nikmati termasuk pendidikan, kesihatan dan sebagainya.

Pengundi muda juga pasti mempercayai BN sekiranya mereka diperlihatkan tentang rekod gemilang kerajaan BN dalam memakmurkan dan mensejahterakan tanahair, kata Presiden UMNO itu lagi.

Menurutnya, pengundi muda pasti menyokong BN jika mereka difahamkan tentang kerajaan BN yang tertewas PRU-14 adalah angkara fitnah dan manipulasi politik.

Dan, pengundi muda pasti mahu BN kembali sebagai teras kerajaan Malaysia kerana golongan itu yang dilengkapi teknologi maklumat memiliki daya fikir yang tinggi.

Oleh itu, Ahmad Zahid berkata, seluruh pemimpin, ahli dan penyokong BN perlu berusaha memastikan golongan muda negara cakna mengenai fakta-fakta penting ini demi masa depan semua.

”Jangan bersangka sebaliknya terhadap mereka, malah seharusnya meyakini orang muda mempunyai fikiran yang rasional dan mampu menilai dengan baik.

”Apa yang pengundi muda perlukan adalah sedikit dorongan agar mereka dapat membuat penilaian yang jujur tentang kemampuan kerajaan BN,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Untong umno bn kalau ramai rakyat malaysia buta Yang boleh melihat .puncanya sekolah cara lama boleh melahirkan rakyat yang terus buta .

Comments are closed.