Video tular seorang lelaki membuat kacau ganggu di hadapan Jabatan Kecemasan HKL pada Khamis lalu.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang dirakam menjerit dan menyanyi di hadapan Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Khamis lalu disahkan mengalami gangguan mental.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya telah mengesan video berdurasi 1 minit 47 saat yang dimuatnaik oleh pemilik akaun TikTok bernama Zackroyeo pada jam 4.11 petang semalam.

“Hasil siasatan mendapati individu itu berada di Jabatan Kecemasan HKL bersama keluarganya untuk mendapatkan rawatan susulan kerana mengalami penyakit bipolar mood disorder.

“Kejadian tersebut berlaku pada Khamis sekitar jam 8.30 malam dan kereta peronda (MPV) telah menghala ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan pusat kawalan daerah Dang Wangi,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Noor Delhan, individu tersebut berjaya ditenangkan dan dibawa masuk ke dalam wad untuk menerima rawatan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya berhenti menyebarkan klip video berkenaan untuk mengelakkan kegusaran awam. – MalaysiaGazette