Nizam Mohd Salleh menerima Anugerah Hero Lebuh Raya dari Fadzillah Yusof dalam Majlis Anugerah Industri Lebuh Raya 2021 baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Polis Bantuan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) Sarjan (PB) Nizam Mohd Salleh, 54, diiktiraf sebagai Hero Lebuh Raya menerusi kategori Anugerah Hero Lebuhraya atas dedikasi dan keberanian beliau dalam menjalankan tanggungjawab melindungi keselamatan pengguna lebuh raya ketika bertugas.

Anugerah Hero Lebuh Raya ini diberi khususnya untuk mengiktiraf jasa individu-individu atau agensi yang telah mempamerkan keberanian, kecekalan dan usaha melindungi nyawa, menyelamatkan mangsa yang terlibat dalam kemalangan dan sebagainya.

Anugerah telah disampaikan oleh Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya, di Hotel Marriott, Putrajaya. Sarjan (PB)

Nizam diberi pengiktirafan atas tindakan pantas dan berani beliau yang berjaya menahan penjenayah di Plaza Tol Puchong Selatan, LDP pada Disember 2017 dan tahun seterusnya, membantu menahan pemandu agresif yang menyerang pengawal keselamatan di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan, LDP.

Beliau juga merupakan penerima Anugerah Ketua Polis Negara pada tahun 2018.

Majlis Anugerah Industri Lebuh Raya 2021 itu dianjurkan Lembaga Lebuhraya Malaysia baru-baru ini bertujuan memberi pengiktirafan dan apresiasi penghargaan kepada penggiat industri lebuh raya Malaysia, yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Anugerah telah disampaikan oleh Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya.

Beberapa bulan yang lepas, Nizam Mohd Salleh yang juga bekas pesakit Covid-19 mengalami komplikasi penyakit kencing manis sehingga menyebabkan kaki kiri beliau terpaksa diamputasi.

Beliau kini masih berkhidmat dan menabur bakti bersama Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd.

Majlis itu turut mempertandingkan tujuh kategori lain iaitu Anugerah Kepimpinan Lebuh Raya, Anugerah Inovasi dan Keselamatan Lebuh Raya, Anugerah Lebuh Raya Hijau, Anugerah Best Highway Brand Communication, Anugerah Pengurusan Maklumat Terbaik, Anugerah Reka Bentuk Dinamik Lebuh Raya, dan Anugerah Inovasi Teknologi Pembinaan Lebuh Raya. – MalaysiaGazette