KEPALA BATAS – Sebuah wad sementara yang menempatkan 15 katil dibina di Hospital Kepala Batas (HKB), di sini, bagi menampung peningkatan pesakit Covid-19 di Pulau Pinang.

Pembinaan Wakaf Short Stay (SSU) yang menelan kos berjumlah RM100,000 itu adalah hasil inisiatif hasil kerjasama lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Muslim Care Malaysia.

Antara NGO yang terlibat dalam pembinaan wad tersebut ialah Khidmat Malaysia, Muslim Care Malaysia, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Pulau Pinang dan Ummah Pulau Pinang.

Zulkifli.

Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan berkata, wad sementara itu dibina bagi memberi keselesaan kepada pesakit sementara menunggu giliran untuk memasuki wad.

Jelasnya, SSU atas kawasan padang permainan yang dibina melalui hasil sumbangan dan wakaf itu juga boleh digunakan sebagai wad tambahan sekiranya tiada kemasukan pesakit Covid-19.

“Kita sedih tengok ada pesakit Covid-19 terpaksa duduk di koridor dalam keadaan tengah panas semasa menunggu kerana sebelum ini hanya boleh menempatkan seorang pesakit.

“Ada beberapa hospital lain yang ingin (minta) kita bina wad seumpamanya dan kita juga merancang untuk mengembangkannya ke hospital-hospital lain nanti,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, acara perasmian wakaf tersebut dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.

Tambah Zulkifli, struktur wad SSU yang dibina di dalam sebuah kabin itu turut menempatkan peralatan perubatan yang lengkap termasuk katil.

“Ia boleh menempatkan 15 pesakit dalam satu masa selain dilengkapi tandas, pendingin hawa dan peralatan perubatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette