Muhammad Idzam Jaafar

KUALA LUMPUR – Seorang tukang masak yang dikatakan menggugut untuk membunuh pekerja restoran di Taman Cheras di sini kelmarin direman bagi membantu siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, suspek lelaki warga emas berusia 62 tahun itu ditahan ketika berada di bilik yang disewanya semalam.

Suspek telah dihadapkan ke mahkamah dan dibenarkan reman selama tiga hari bermula hari ini.

“Pagi tadi, suspek yang ditahan malam tadi dihadapkan ke mahkamah dan dibenarkan reman tiga hari sehingga 7 Disember ini untuk membantu polis melengkapkan kertas siasatan kes.

“Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Suspek bekerja sebagai seorang tukang masak di sebuah restoran berdekatan Jalan Kas Kas, Cheras,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Menurut Muhammad Idzam, suspek berkelakuan sebegitu kerana berasa marah kerana dituduh membuang sampah dan air dari kediamannya bertingkat yang disewanya dan terkena restoran yang terletak di tingkat bawah.

Menurutnya, suspek tinggal di bilik sewa itu sejak beberapa bulan lalu dengan kadar sewa sebanyak RM400 sebulan.

“Suspek juga tidak fasih berbahasa Melayu semasa rakaman percakapan diambil oleh polis di balai polis,” ujarnya.

Polis sedang menjalankan siasatan kes di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette