Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof . Foto AMIRUL SHAUFIQ 06 DECEMBER 2021.

CYBERJAYA – Tindakan sekumpulan lelaki memburu babi hutan di luar kawasan permit yang dibenarkan mengundang padah apabila mereka ditahan polis di Jalan Dato Empat Abu, Kampung Jenderam Hulu, Dengkil di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam sekitar pukul 5 petang sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

Menurut beliau, seramai 10 lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30 hingga 55 tahun ditahan dan hasil pemeriksaan menemui senjata api di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda.

“Hasil semakan mendapati permit senjata api itu dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang dan diberikan syarat tambahan untuk berburu babi hutan bermula bulan Ogos sehingga Disember.

“Jika kelulusan memburu diberikan dalam daerah atau kawasan tersebut, mereka perlu berada dalam kawasan itu,” katanya pada sidang media berkaitan operasi cegah jenayah Op Roda di Balai Polis Cyberjaya hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara barangan yang dirampas adalah pacuan empat roda jenis Ford Ranger dan Mitsubishi Triton, senapang shotgun, 18 butir peluru, sebuah buku lesen senjata dan peluru, surat kebenaran memburu, surat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara dan bangkai seekor babi hutan.

“Berdasarkan keterangan, individu terbabit pernah menembak (babi hutan) di kawasan sama dan ini (tangkapan) adalah ekoran maklumat awam,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, kesemua 10 individu yang ditahan kemudiannya dilepaskan dengan jaminan polis sekitar pukul 11 malam pada hari yang sama.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Senjata Api 1960. – MalaysiaGazette