Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (tengah) membuat gimik pelancaran sambil diperhatikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (tiga kanan), Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim (dua kanan), Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh (kiri), dan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz (dua kiri) pada majlis Pelancaran Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari Menteri Dalam Negeri ketika di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pulapol, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 06 DECEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 11 pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang dikenalpasti akan dinaik taraf sebagai balai polis untuk memudahkan rakyat di kawasan pedalaman berurusan dengan pihak berkuasa dengan pantas.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pos-pos kawalan yang akan dinaiktaraf itu masing-masing sembilan di Sabah dan dua di Sarawak dan ia akan diperluaskan ke seluruh negara jika berjaya membawa keberkesanan yang diharapkan.

“Ia dimulakan serta- merta yang mana kesemua 11 fungsi pos kawalan PGA sebagai balai adalah projek rintis yang akan dipantau selama enam bulan sebelum diperluaskan ke pos kawalan PGA lain sebanyak 170 di seluruh negara,” katanya di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak di sini.

Beliau berkata demikian selepas hadir selepas merasmikan Perluasan Fungsi Pos Kawalan Sebagai Balai Polis di 11 Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KDN Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Timbalannya Datuk Seri Mazlan Lazim.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menambah, setakat ini pihaknya menerima 14 laporan dalam tempoh dua minggu terakhir membabitkan rungutan penduduk yang terkesan kerana ketiadaan kemudahan mendapatkan bantuan polis untuk hal kecemasan.

Katanya, penduduk di Sabah dan Sarawak misalnya, menghadapi kekangan dari segi kedudukan geografi serta jarak tempat tinggal dari balai polis yang agak jauh menyukarkan mereka mendapatkan akses kemudahan polis.

“Sebagai contoh, Pos Long Banga terletak jauh di pedalaman, kalau dari Miri, perjalanan memakan masa sehingga 10 jam tetapi kalau ke balai polis berdekatan memakan masa lima enam jam disebabkan tinggal di pedalaman.

“Masalah yang dikenalpasti di kawasan pedalaman sempadan di Sabah dan Sarawak menunjukkan lokasi yang agak jauh, ketiadaan akses teknologi maklumat, persekitaran geografi dan urusan kelahiran, kematian serta lapor insiden atau bencana tidak dapat dilakukan penduduk setempat dengan pantas.

“Dengan transformasi yang dilakukan ke atas pos kawalan PGA dapat memudahkan urusan dengan rakyat dan membantu data JPN dikemaskini segera,” ujarnya..-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast