Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneruskan operasi sekatan jalan raya, rondaan cegah kemalangan dan pemantauan di laluan utama dan taman perumahan bagi mencegah penggunaan nombor pendaftaran fancy di negara ini- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneruskan operasi sekatan jalan raya, rondaan cegah kemalangan dan pemantauan di laluan utama dan taman perumahan bagi mencegah penggunaan nombor pendaftaran fancy di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, ia bertujuan untuk mendidik pemilik dan pengguna kenderaan supaya sentiasa mengikut peraturan dan memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi.

Katanya, pihak JSPT telah melaksanakan operasi khas nombor pendaftaran di seluruh negara bermula dari 1 hingga 30 November lalu.

“Bagi tujuan memastikan orang ramai tidak melakukan kesalahan memasang nombor  fancy atau tidak mengikuti spesifikasi yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), operasi sekatan jalan raya, rondaan cegah jenayah dan pemantauan berkala oleh para petugas trafik di laluan-laluan utama serta taman-taman perumahan akan terus dipertingkatkan.

“Ia bagi tujuan mengesan pengguna jalan raya yang mempamerkan nombor pendaftaran fancy yang tidak mengikuti spesifikasi yang dibenarkan JPJ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, tambah Mat Kassim, JSPT juga akan mengekalkan konsep tidak akan bertolak ansur dan menubuhkan pasukan bertindak di kawasan-kawasan tumpuan ramai sebagai strategi utama bagi mengesan pemilik kenderaan yang mengubahsuai dan mempamerkan nombor pendaftaran fancy.

Menurut beliau, sepanjang 30 hari bermula 1 hingga 30 November lalu, sebanyak 7,874 saman dikeluarkan terhadap kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran fancy manakala 2,112 saman untuk kenderaan yang tidak mempunyai nombor pendaftaran.

“Manakala, sebanyak 17,035 saman dikeluarkan atas kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan JPJ. Untuk kesalahan lain, sebanyak 49, 528 saman telah dikeluarkan polis terhadap pengguna kenderaan di atas jalan raya,” ujarnya.

Jelas Mat Kasim lagi, jumlah saman mengikut jenis pengguna jalan raya mencatatkan pemilik motosikal didapati kes tertinggi berbanding kereta yang melakukan kesalahan nombor pendaftaran dengan peratusan sebanyak 49.45 peratus atau sebanyak 12, 318 saman dikeluarkan.

Justeru katanya, pemilik lori menunjukkan peratusan terendah dengan hanya 1.20 peratus atau sebanyak 300 saman yang dikeluarkan selama 30 hari Op Khas itu dilaksanakan.

“Sepanjang sebulan operasi, jumlah keseluruhan saman yang dikeluarkan terhadap pemilik kenderaan yang mengunakan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi, fancy dan tiada nombor pendaftaran ialah sebanyak 24,909 saman manakala 49,528 saman pelbagai juga dikeluarkan sepanjang ops khas ini.

“Dari segi tangkapan dalam Ops Khas sama, seramai 11 orang telah ditangkap di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, tiga orang dibawah Kanun Keseksaan, dan 20 orang di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” tegasnya.

Justeru katanya sebanyak 111 kenderaan pelbagai jenis turut disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas pelbagai kesalahan dan mengikut pecahan motosikal (60), kereta (35) dan lain-lain kenderaan (16).

Di bawah Seksyen 64 (1) APJ, polis berkuasa menyita kenderaan bagi tujuan mengenal pasti identiti pemandu, identiti kenderaan atau untuk memberhentikan sesuatu kesalahan daripada berterusan.

Kenderaan yang disita boleh dituntutkan dan dilepaskan selepas identiti pemandu atau kenderaan dikenalpasti, kesalahan yang dilakukan telah diberhentikan dan dilepaskan oleh mahkamah.

“Nasihat JSPT kepada pemilik kenderaan segeralah menukar dan mempamerkan nombor pendaftaran mengikut spesifikasi yang dibenarkan dan kepada yang masih ingkar sama sekali sama sekali tidak akan terlepas dari tindakan saman dan pertuduhan di mahkamah di bawah Seksyen 14(4) APJ 1987,” katanya lagi.-MalaysiaGazette