Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berjalan keluar dari mahkamah selepas hadir bagi rayuan kes rasuah projek solar hibrid RM1.25 bilion di Mahkamah Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 06 DISEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak sebulat suara permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang bertindak sebagai Ketua Pendakwa Raya dalam kes ini.

Tiga panel hakim yang diketuai oleh Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang menolak rayuan berkenaan selepas membenarkan bantahan awal pendakwa raya.

Turut bersidang ialah Datuk M Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah.

Ketika membacakan penghakiman, Hanipah berkata, pihaknya mendapati mahkamah jenayah tiada bidang kuasa untuk memutuskan perisytiharan dipohon Rosmah yang mendakwa pelantikan Sri Ram adalah tidak sah sebaliknya permohonan itu mesti mengikut Kanun Acara Jenayah.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan Rosmah menggugurkan pelantikan Sri Ram dari mengetuai perbicaraan kes rasuahnya.

Ketika itu, Mohamed Zaini menjelaskan pelantikan Sri Ram oleh mantan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas adalah sah dan tidak perlu dipertikaikan.

Rosmah pada masa ini sedang berdepan dengan prosiding bela diri kes rasuah projek tenaga solar membabitkan sekolah-sekolah pedalaman di Sarawak.

Beliau didakwa telah meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.

Wang dorongan itu didakwa telah diminta melalui bekas pembantu peribadinya, Datuk Rizal Mansor.

Rosmah turut didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.

Dalam pada itu, hari ini juga Rosmah telah memohon maaf kepada Mahkamah Rayuan kerana gagal hadir untuk pendengaran rayuan berkenaan kes rasuah terhadapnya Khamis lepas. -MalaysiaGazette