Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato Sri Adham Baba menyaksikan petukaran memorandum persefahaman pada antara Malaysia Global Innovation and Creativity Centre (MAGIC) dan Plus Malaysia pada Majlis Pelancaran Program Rintis Sandbox Lebuhraya Pintar kerjasama di Dewan Banquet Persada Plus Petaling Jaya, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 06 DISEMBER 2021.

PETALING JAYA – Malaysia harus menerokai teknologi-teknologi baharu bagi mewujudkan lebuh raya pintar khususnya oleh bakat tempatan yang mampu meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adam Baba berkata, lebuh raya yang pintar menggabungkan infrastruktur fizikal dengan perisian dan data.

“Lebuh raya pintar merupakan sebuah medium inovasi kerana membolehkan integrasi teknologi bersama jaringan jalan raya antaranya dengan gabungan pelbagai peranti Internet of Things untuk meningkatkan kecekapan pengangkutan, keselamatan pemandu serta pejalan kaki dan penggunaan tenaga bersih untuk menggalakkan kelestarian,” katanya ketika menyampaikan ucapan pelancaran Program Rintis Sandbox Lebuhraya Pintar, di Persada PLUS hari ini.

Adham berkata, berdasarkan data daripada Global Smart Highway Market 2021, pasaran lebuh raya pintar global dianggarkan bernilai AS$$19.89 billion pada tahun 2021.

Nilai ini dijangka akan berkembang sekitar 18 peratus bagi tempoh 2021 sehingga 2026.

Menurutnya, sejak pelancaran inisiatif Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS). pada Ogos 2020, sebanyak lima tapak sandbox telah berjaya dilancarkan dengan fokus teknologi dan sektor yang
berbeza.

Hari ini, tapak sandbox nasional yang keenam bakal diwujudkan menerusi kerjasama strategik bersama PLUS.

MOSTI melalui NTIS, katanya memudahkan proses ini dengan penyediaan Sandbox Lebuhraya Pintar bagi membolehkan innovators dan syarikat pemula menguji produk dan penyelesaian dalam persekitaran sebenar yang selamat.

Adham berkata, hampir 10% daripada 139 permohonan yang diluluskan di bawah program NTIS adalah syarikat-syarikat yang bersedia untuk menguji prototaip teknologi dalam sektor bandar pintar dan pengangkutan.

Terdahulu beliau berkata, Program Rintis Sandbox Lebuhraya Pintar ini bagi syarikat pemula berteknologi yang memberi penyelesaian inovatif dengan penerapan teknologi tinggi dalam pembangunan penyelenggaraan lebuh raya melalui sokongan pengkormersialan dan bantuan dana pertumbuhan.

Dalam majlis itu, Adham turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bersama Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC), agensi di bawah MOSTI sebagai Sekretariat Utama mewakili NTIS.- MalaysiaGazette