Hasni Mohamad

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor hari ini melancarkan program peningkatan kemahiran, PERANTIS Iskandar bagi memenuhi permintaan dan keperluan industri menerusi inisiatif peningkatan kemahiran.

Menteri Besarnya, Datuk Hasni Mohammad menerusi kenyataan medianya hari berkata, Kementerian Kewangan telah memperuntukkan  RM5 juta di bawah inisiatif program PENJANA kepada Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

“Pelancaran ini jelas merupakan  kerjasama awam dan swasta dengan kerajaan negeri untuk memenuhi  keperluan industri menerusi inisiatif meningkatkan kemahiran.

“Ianya sekaligus membolehkan rakyat Johor mencari peluang pekerjaan dalam industri terutamanya dalam ekonomi baharu seperti kecerdasan buatan, pengaturcaraan, teknologi automotif, juruteknik robotik, pereka bentuk kesan visual dan penganalisis data,” katanya.

Menurutnya, PERANTIS Iskandar juga berperanan membantu meringankan cabaran ekonomi rakyat Johor.

“Program ini menyasarkan dan meletak tanda aras pendapatan minimum RM2,000 dengan lebih banyak pekerjaan tersedia untuk pelatih yang telah menjalani latihan,” katanya.- MalaysiaGazette