Suspek yang dikenali sebagai Jotu diburu polis bagi membantu kes bunuh wanita Indonesia di Sungai Nibong, Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Polis kini sedang memburu seorang lelaki warga Bangladesh yang dikenali sebagai Jotu bagi membantu siasatan kes bunuh wanita Indonesia di sebuah kediaman, tingkat tiga Apartmen Sri Nipah, Sungai Nibong di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek berusia 37 tahun yang juga buruh tapak pembinaan itu dipercayai terlibat dalam kes bunuh wanita berusia 45 tahun itu.

“Suspek dikatakan menyewa bersama dua rakan senegaranya di kediaman tersebut dan sudah melarikan diri sebelum kehadiran pihak polis.

Soffian (kanan) menunjukkan gambar suspek yang dipercayai terlibat dalam kes bunuh wanita Indonesia.

“Kita sudah kenal pasti identiti suspek dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan,” katanya.

Tambah Soffian, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil atau menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN

Wanita ditemui mati, ada kesan kelar di leher, dada dan perut

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan wanita warga Indonesia ditemui mati dengan empat kesan kelar termasuk di lehernya di sebuah kediaman Apartmen Sri Nipah, Sungai Nibong di sini.

Mayat wanita berusia 45 tahun itu ditemui dua lelaki warga Bangladesh kira-kira jam 11.30 malam dalam keadaan berlumuran darah sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak polis.

Dua lelaki yang merupakan antara penyewa kediaman tersebut menemui mangsa di dalam bilik rakan mereka iaitu suspek utama yang kini diburu polis. – MalaysiaGazette