Seorang wanita Indonesia mati dibunuh dalam kejadian di Apartmen Sri Nipah, Sungai Nibong, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Seorang wanita warga Indonesia ditemui mati dengan empat kesan kelar termasuk pada lehernya di sebuah kediaman, tingkat tiga Apartmen Sri Nipah, Sungai Nibong di sini, lewat malam tadi.

Mayat wanita berusia 45 tahun itu ditemui dua lelaki warga Bangladesh kira-kira jam 11.30 malam dalam keadaan berlumuran darah sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak polis.

Wanita warga Indonesia ditemui mati dibunuh di tingkat tiga Apartmen Sri Nilah, Sungai Nibong di sini.

Dua lelaki yang merupakan antara penyewa kediaman tersebut menemui mangsa di dalam bilik rakan mereka iaitu suspek utama yang kini diburu polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, hasil pemeriksaan mendapati kediaman tersebut dilengkapi tiga bilik tidur dan mangsa ditemui di dalam salah sebuah bilik terbabit.

Jelasnya, hasil pemeriksaan pihak forensik mendapati terdapat kesan kelar pada belakang telinga, perut, dada serta leher mangsa sepanjang 13 sentimeter.

Soffian Santong (tengah).

Kata Soffian, pihak polis turut menemui kesan ikatan tali pada pergelangan tangan serta kaki mangsa, sekali gus tidak menolak kemungkinan wanita itu diikat sebelum dibunuh.

“Berdasarkan keadaan mayat, mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh 24 jam.

“Selain itu, hasil soal siasat awal kedua-dua penyewa tersebut mendakwa dengar rakan senegara (suspek) serta mangsa bertengkar kira-kira jam 7.30 pagi semalam sebelum mereka dikejutkan dengan penemuan mayat mangsa sejurus pulang dari kerja pada sebelah malam.

Dua bilah pisau antara barang kes yang dirampas pihak polis.

“Turut ditemui di lokasi kejadian dua bilah pisau potong sayur, yang mana sebilah daripadanya mempunyai kesan darah dan tali yang dipercayai digunakan suspek untuk mengikat serta membunuh mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Tambah Soffian, hasil pemeriksaan dalam bilik itu polis menemui beberapa dokumen dan salinan pasport yang dipercayai milik wanita Indonesia itu, namun identitinya akan disahkan selepas proses bedah siasat dilakukan.

“Kita masih menyiasat sama ada mangsa tinggal di sana atau sebaliknya serta hubungan dengan suspek.

Dua lelaki yang tinggal serumah bersama suspek ditahan bagi membantu siasatan pihak polis.

“Setakat ini, kita menahan dua lelaki yang tinggal di kediaman tersebut bagi membantu siasatan dan usaha mengesan suspek berusia 37 tahun yang telah melarikan diri turut sedang giat dijalankan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang dan proses bedah siasat akan dilakukan selepas menerima ujian calitan Covid-19,” ujar beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette