Mah Hang Soon

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia tiada perancangan untuk menggantikan mata pelajaran pendidikan moral dengan mata pelajaran perpaduan.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Senator Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, pendidikan moral merupakan mata pelajaran teras untuk murid yang tidak menganut agama Islam berdasarkan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 seperti yang termaktub di dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Menurutnya, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Tahun 2013-2025 mengesyorkan kurikulum pendidikan moral bagi murid bukan Islam memberi lebih tumpuan kepada pemahaman tentang nilai universal, perpaduan dan hubungan baik sesama insan.

“KPM telah melaksanakan penambahbaikan secara bersepadu dengan memberi lebih tumpuan kepada elemen perpaduan dalam aspek kurikulum, strategi pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta bahan sokongan.

“Elemen perpaduan dalam kurikulum pendidikan moral diterjemahkan secara eksplisit dan diperkembangkan melalui tema dan bidang yang khusus. Tema dan bidang yang diajar bukan sahaja memberi tumpuan kepada kandungan tetapi dikaitkan juga dengan konstruk perpaduan,” katanya pada waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan P. Prabakaran (PH-Batu) yang meminta pendapat KPM mengenai pelan memperkenalkan mata pelajaran Perpaduan bagi murid-murid sekolah rendah dan menengah menggantikan pendidikan moral yang berada dalam sistem pendidikan sekian lama tanpa memberi sebarang impak yang nyata untuk memupuk semangat perpaduan.

Hang Soon berkata, KPM menghasilkan bahan sokongan untuk memantapkan amalan perpaduan dalam kalangan murid iaitu Buku Panduan Pelaksanaan Memperkukuh Perpaduan Melalui Mata Pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral dalam Kurikulum.

Bbuku panduan itu menjadi rujukan guru Pendidikan Moral untuk memperkukuh perpaduan secara terancang melalui pelbagai cadangan aktiviti PdP di dalam dan di luar bilik darjah.

“Penambahbaikan kurikulum Pendidikan Moral dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi menjadikan mata pelajaran tersebut relevan dengan keadaan semasa dalam memupuk dan meningkatkan amalan perpaduan serta integrasi kaum dan etnik dalam kalangan murid. – MalaysiaGazette