Kluster COvid-19
Gambar hiasan

KUANTAN – Seramai 7,536  masyarakat Orang Asli di Pahang dijangkiti Covid-19 telah direkodkan sehingga 5 Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman berkata, punca jangkitan disebabkan kegagalan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

Jelas beliau, penularan tersebut juga dipercayai akibat pergerakan keluar masuk golongan yang berisiko ke perkampungan masyarakat Orang Asli untuk memberi sumbangan.

“Komuniti itu terdedah dengan risiko jangkitan daripada tempat kerja mereka, pergerakan keluar masuk individu yang berisiko di perkampungan Orang Asli juga menyumbang.

“Selain itu juga terdapat sebahagian komuniti Orang Asli yang kurang mematuhi SOP yang ditetapkan menyebabkan penularan wabak ini.

“Kerajaan negeri sentiasa memperkasakan budaya norma baharu dalam kalangan masyarakat Orang Asli di seluruh negeri selain meningkatkan program vaksinasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chong Yoke Kong (DAP-Tanah Rata) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang hari ini.

Untuk rekod, sehingga 6 Disember lalu, seramai 45,485 orang atau 83.3 peratus daripada 86,532 Orang Asli di negeri itu telah menerima dos vaksin lengkap melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). – MalaysiaGazette