Pengunjung pusat hiburan dan juga pemiliknya dikeluarkan kompaun berjumlah RM165,000 kerana melanmggar SOP PPN fasa 4 Kuala Lumpur oleh polis dalam serbuan lewat malam Isnin. gambar Ihsan IPK KL

KUALA LUMPUR – Gara-gara gagal memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), pemilik sebuah pusat hiburan menerima padah apabila dikenakan kompaun sebanyak RM25,000.

Malah, para pelanggan yang berkumpul dan berhibur dengan mengabaikan SOP Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) semasa berada di dalam premis kelab malam itu turut menerima tindakan yang sama daripada pihak berkuasa dalam satu serbuan Ops Khas di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, dalam serbuan tersebut pemeriksaan lanjut mendapati 28 pengunjung di dalam premis itu gagal mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Berikutan itu, polis turut mengeluarkan sebanyak 28 notis kompaun berjumlah RM140,000 kepada para pengunjung pusat hiburan berkenaan.

“Kompaun tersebut dikeluarkan mengikut pelanggaran Peraturan 17, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 2021 (melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) semasa tempoh PPN bagi Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, secara keseluruhannya nilai kompaun yang dikeluarkan hasil serbuan tengah malam tadi berjumlah RM165,000.

Menurut Azman, operasi tersebut dijalankan untuk mencegah penularan wabak Covid-19 terutama di Kuala Lumpur.

“Kita akan terus mempergiatkan operasi ini dari semasa ke semasa tanpa kompromi dalam usaha mengawal penularan Wabak Covid – 19 dalam kalangan warga ibu kota,” ujarnya.-MalaysiaGazette