Idris Ahmad
Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah merujuk isu seorang remaja lelaki melakonkan babak romantik bersama pelakon lelaki lain menerusi sebuah siri drama kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, ia bertujuan memohon pihak berautoriti itu mempertimbangkan supaya siasatan lanjut dapat dijalankan mengikut lunas undang-undang sedia ada.

“JAKIM amat memandang serius isu seperti ini dan sebarang isu lain yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat khususnya umat Islam.

“Kita juga berharap kepada pihak-pihak terbabit agar sensitif dengan nilai serta budaya masyarakat di negara ini dan tidak bertindak di luar batas dengan nilai ketimuran yang sejak sekian lama dibudayakan secara aman dan harmoni.

“Masyarakat di luar sana juga dinasihati supaya dapat bertenang dan menyerahkan isu ini kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan SKMM diminta untuk menyiasat sebuah kandungan digital yang didapati bertentangan dengan nilai-nilai budaya dan norma rakyat di negara ini.

Menurut Idris, kandungan yang mengandungi unsur-unsur seperti gay adalah tidak beretika dan sama sekali ditolak oleh semua agama.

“Jika perkara itu melibatkan filem kita akan panjangkan kepada SKMM untuk menyiasat kerana ia bertentangan dengan norma rakyat negara ini.

“Ia (sama sekali) tidak beretika (dan) semua agama tidak boleh terima tentang konsep berkenaan gay ini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai isu seorang pelakon remaja berusia 17 tahun yang membintangi siri bertemakan gay berjudul Stay Away From Me. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

SKMM diminta siasat kandungan digital berunsur gay