Tiong King Sing

SIBU – Datuk Seri Tiong King Sing meminta ahli semua parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) bekerjasama bagi memastikan kejayaan dalam merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Beliau berkata apa yang lebih penting ialah bekerjasama bagi memastikan GPS, yang terdiri daripada empat parti komponen iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), memenangi kerusi itu.

“Apa yang penting, saya berharap semua pihak jangan emosional dan bekerjasama demi rakyat, parti politik merupakan platform sahaja,” kata Tiong yang telah dipilih sebagai calon bagi kawasan itu.

Beliau juga meminta semua pihak agar bertenang jika individu pilihan mereka tidak menjadi calon pada PRN Sarawak kali ini.

Sebelum ini, Pengerusi SUPP Dudong Wong Chin Yong yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu disebut-sebut sebagai calon GPS di kawasan itu yang akan menyaksikan pertandingan lapan penjuru.

Tiong, yang merupakan Presiden PDP, berharap semua pengundi di Dudong memberikan sokongan penuh kepadanya.

“Saya berharap dan merayu semua rakyat di Dudong memberi sokongan penuh kepada GPS, saya juga merayu kepada semua anggota SUPP supaya jangan emosional, kita tampil dan bekerja bersama-sama.

“Kita berusaha yang terbaik demi untuk mendapatkan Dudong,” katanya kepada pemberita di Pusat Khidmat PDP-Dudong hari ini.

Ahli Parlimen Bintulu itu turut memberi contoh bagaimana bagi kerusi Opar yang ditandingi oleh calon GPS daripada SUPP, kedua-dua pencadang dan ketua bilik gerakan adalah daripada PDP namun mereka telah menjalin kerjasama yang baik sebagai satu pasukan.

Pesaing bagi kerusi Dudong ialah Wong Hie Ping daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), Jane Lau Sing Yee daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK), Cardock @ Fadhil Mohamad Isa (Bebas), Julius Enchana daripada Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB), Paul Ling Fong (DAP), Josephine Lau Kiew Peng daripada Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) dan Engga Unchat (Bebas).

PRN Sarawak ke-11 pada 2016 menyaksikan kerusi itu dimenangi oleh Datuk Tiong Thai King, yang bertanding sebagai calon langsung Barisan Nasional, dengan majoriti 2,146 undi.- BERNAMA