Atech menjadi Penyedia Rumusan Sehenti Perkhidmatan Perkilangan Elektronik (EMS).

KUALA LUMPUR – Saham-saham Aurelius Technologies Bhd (ATech) mencatatkan lebihan langganan sebanyak 20.27 kali sebelum penyenaraian syarikat itu di Papan Utama Bursa Malaysia pada 16 Disember ini.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif ATech, Lee Chong Yeow berkata, syarikat itu  menghargai keyakinan para pelabur terhadap ATech, prospek perniagaan dan perancangan masa hadapannya.

Perjalanan Atech untuk menjadi Penyedia Rumusan Sehenti Perkhidmatan Perkilangan Elektronik (EMS) begitu panjang dan kini membuahkan hasil.

“Sebagai penyedia EMS, kami terdorong oleh maklum balas hebat ke atas IPO yang memberi petunjuk bahawa sentimen pasaran adalah positif untuk momentum pertumbuhan ekonomi terus berkembang, yang penting bagi keseluruhan prospek masa hadapan industri elektrik dan elektronik.’’ katanya di sini hari ini.

ATech mahu meraih RM104.73 juta daripada proses IPO tersebut.

Daripada hasil tersebut, sebanyak RM40 juta akan digunakan untuk membeli mesin dan peralatan baharu, RM29.52 juta bagi pembayaran balik pinjaman, RM28.13 juta bagi modal kerja dan RM7.09 juta bagi perbelanjaan penyenaraian.

Lee Chong Yeow

“Perancangan perluasan kami akan melonjakkan pertumbuhan kepada perniagaan Kumpulan,’’ jelas Chong Yeow.

Ia juga adalah sebahagian strategi untuk meningkatkan perkilangan komponen semikonduktor Atech dan menaik taraf fasiliti perkilangan dengan teknologi Industri 4.0.

IPO tersebut merangkumi penerbitan sehingga 103,870,000 dan merangkumi
penawaran institusi sehingga 80,961,000 Saham IPO untuk institusi Malaysia dan pelabur terpilih, termasuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada harga institusi yang akan ditetapkan secara cabutan.

Manakala penawaran runcit sebanyak 22,909,000 terbitan saham untuk para pengarah dan kakitangan ATech yang layak dan orang perseorangan yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan dan rakyat Malaysia pada harga runcit RM1.36 sesaham dibayar secara penuh semasa memohon dan tertakluk kepada pemulangan baki beza harga antara harga runcit dan harga akhir jika berlaku harga akhir lebih rendah berbanding harga runcit.

Penawaran Institusi oleh ATech, Harga Institusi ditetapkan pada RM1.36 sesaham IPO.

Chong Yeow berkata, oleh kerana harga akhir runcit bersamaan dengan harga runcit RM1.36 sesaham terbitan, maka tiada pemulangan akan dilakukan bagi pemohon yang berjaya di bawah penawaran runcit.

Beliau memberitahu, sebanyak 14,253 permohonan bagi 380,958,800 saham terbitan dengan nilai sebanyak RM518,103,968.00 telah diterima daripada orang awam Malaysia bagi 17,909,000 saham terbitan yang boleh dipohon oleh orang awam Malaysia, yang mewakili kadar terlebih langganan keseluruhan sebanyak 20.27 kali.

Bagi bahagian Bumiputera, sebanyak 7,399 permohonan untuk 140,000,100 saham terbitan telah diterima mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 14.63 kali.

Untuk bahagian orang awam, sejumlah 6,854 permohonan untuk 240,958,700 Saham Terbitan diterima yang mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 25.91 kali.

Maybank Investment Bank Berhad merupakan penasihat utama bagi IPO, serta penerbit dan penaja jamin tunggal. – MalaysiaGazette