Kenyataan itu dikeluarkan Najib di Facebook rasminya kurang 24 jam sebelum Mahkamah Rayuan untuk membuat keputusan esok.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersedia untuk menerima sebarang keputusan dalam kes SRC International bernilai RM42 juta yang akan diputuskan mahkamah esok.

Kenyataan itu dikeluarkan Najib di Facebook rasminya kurang 24 jam sebelum Mahkamah Rayuan untuk membuat keputusan itu.

“Saya menerima banyak mesej, dapat panggilan, dan ada baca banyak posting dan komen-komen kat FB yang memberikan kata-kata sokongan dan doa juga. Amat menghargai setiap satunya.

“Saya sedia menghadapi aturan dan ujian Allah SWT dengan tenang dan redha. Semoga Allah SWT berikan kekuatan kepada hambaNya dan permudahkan segalanya,” katanya di Facebook.

Dalam keputusan sebulat suara yang dibuat hari ini, panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Abdul Karim Abdul Jalil menolak permohonan bekas perdana menteri untuk mengemukakan bukti baru dalam rayuan itu.

Semasa prosiding melalui aplikasi Zoom hari ini, panel hakim lain ialah Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Abdul Karim berkata, Najib selaku perayu gagal secara kumulatif dalam memenuhi peruntukan undang-undang berhubung kemasukan bukti baharu.

Dalam pada itu, beliau berkata, kemasukan bukti terbabit tidak perlu bagi pertimbangan rayuan kes berkenaan.

Pada 28 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyampaikan keputusan dan hukuman bersalah terhadap Najib berikutan perbicaraan penuh tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana daripada SRC. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mahkamah Rayuan tolak permohonan bukti baharu Najib berkaitan Zeti