Kompleks Mahkamah Sepang, Selangor.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang mempunyai masalah kesihatan mental telah dihadapkan di Mahkamah Majistret Sepang, Selangor pagi tadi atas dakwaan membunuh bapanya,  seorang pesara tentera.

Tertuduh Faizal Riza Ridwan, 48, telah dibawa dengan tangan bergari dan dikawal ketat oleh anggota polis.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ketika kertas pertuduhannya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Ayuni Izzati Sulaiman.

Tertuduh, seorang penganggur didakwa memukul sehingga menyebabkan kematian kepada bapanya berusia 73 tahun pada 1 Disember 2021 di Kampung Jenderam Hilir.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahannya.

Pendakwaan telah dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman.

Kes siasatan dikendalikan oleh pegawai penyiasat Asisten Superintendan Boby Tamat.

Tertuduh tidak ditawarkan sebarang jaminan.

Ayuni menetapkan 24 Januari 2022 sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan laporan perubatan, laporan kimia dan bedah siasat.

Ayuni  mengarahkan tertuduh diserahkan kepada Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Ipoh di Perak di bawah Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

Sementara itu, tertuduh dibawa ke lokap IPD Sepang sementara menunggu kekosongan masuk Hospital Bahagia Tanjung Rambutan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Pada 6 Disember lalu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengesahkan seorang pesara tentera maut dibunuh anak lelakinya yang mengalami sakit mental dalam satu kejadian di Kampung Jenderam Hulu, Dengkil dekat sini pada 1 Disember lalu.

Dalam kejadian sekitar pukul 7 malam itu, mangsa seorang warga tempatan berusia 73 tahun maut dipercayai dihentak menggunakan kaki oleh suspek pada bahagian kepala.

“Sejurus menerima laporan sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki warga tempatan sedang mengamuk.

“Anggota kemudiannya bertindak menahan suspek berusia 48 tahun dan tidak bekerja itu di pekarangan rumah,” katanya dalam sidang media pada Isnin di Balai Polis Cyberjaya.-MalaysiaGazette