drug case police lockup escapee Perak state assemblyman drug PDRM murder case Jalan Ampang logo
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan pengurangan kompaun saman terpilih sehingga 80 peratus dengan had minima sebanyak RM30 selama empat hari bermula esok sehingga Ahad.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, tawaran berkenaan adalah bersempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Menurut beliau, semua pembayaran kompaun boleh dibuat di kaunter PDRM di KLCC, kaunter bayaran saman trafik di ibu pejabat polis daerah dan kontinjen serta portal aplikasi MyBayar Saman sepanjang tempoh empat hari itu.

“Pengurangan kompaun tidak ditawarkan bagi kesalahan kemalangan, memotong secara berbahaya, menggunakan lorong kecemasan, tidak patuh isyarat lampu merah dan memotong di garisan berkembar.

“Selain itu, kesalahan yang dikategorikan tidak boleh kompaun (NC), kesalahan yang berstatus perbicaraan, kesalahan berkaitan kenderaan berat dan kesalahan pengubahsuaian ekzos kenderaan adalah tidak ditawarkan kompaun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mat Kasim berkata, orang ramai mahu pun syarikat atau entiti perniagaan boleh mendaftar menerusi portal rasmi PDRM, pautan https://[email protected] atau memuat turun aplikasi tersebut.

Dalam masa sama, beliau turut menyeru orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika berurusan di kaunter bayaran fizikal selain menggalakkan pembayaran kompaun secara dalam talian. – MalaysiaGazette