Foto PDRM

KUALA LUMPUR – Seorang pemuda yang cedera dalam satu kemalangan membabitkan kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori di Kilometer 29 Lebuh Raya Karak menghala ke Gombak, dekat sini, semalam meninggal dunia.

Mangsa, Muhammad Haziq Ayob, 24, dari Jempol, Negeri Sembilan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4.30 pagi tadi ketika menerima rawatan di Hospital Selayang.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, kaunter aduan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah Gombak telah menerima makluman daripada pemandu lori berkenaan pada pukul 10.28 malam bahawa kenderaan yang dipandunya terlibat dalam kemalangan.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati pemandu lori berusia 26 tahun itu sedang dalam perjalanan dari Karak, Pahang menuju ke Klang.

“Lori dipandu lelaki warga tempatan itu yang berada di lorong kiri telah mengalami kerosakan pada bahagian enjin sebelum pemandu ingin memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan.

“Ketika hendak masuk ke lorong kecemasan, secara tiba-tiba datang sebuah Mitsubishi Triton dari arah belakang dan melanggar bahagaian hadapan sebelah kiri lori sehingga menyebabkan ia hilang kawalan dan terbalik di atas jalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Zainal berkata, akibat daripada kemalangan yang berlaku, mangsa yang memandu pacuan empat roda itu mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan dibawa ke hospital bagi menerima rawatan.

Namun, pihaknya menerima makluman pada pukul 8.41 pagi daripada adik mangsa menyatakan bahawa abangnya telah meninggal dunia.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette