Sawarak state election government assembly Abang Johari Tun Openg.
Abang Johari Tun Openg

KUCHING – Gabungan Parti Sarawak (GPS) kecewa dengan tindakan Datuk Ali Biju yang bertanding mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12).

Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kekecewaan tersebut berikutan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Muhyiddin Yassin telah membuat kenyataan bahawa parti itu tidak akan bertanding pada PRN12.

“Tan Sri Muhyiddin memang ada membuat kenyataan bahawa beliau akan mengambil tindakan terhadap Ali Biju… anda tunggu sajalah.

“Memang saya amat kecewa kerana sudah ada persetujuan mengenai perkara itu, beliau (Muhyiddin) telah memaklumkan saya bahawa tidak ada calon Bersatu yang akan bertanding pada pilihan raya ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Manifesto GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Ali, yang juga Ahli Parlimen Saratok, bertanding sebagai calon Bebas di DUN Krian.

Persaingan di kerusi itu melibatkan tiga lagi calon iaitu Musa Dinggat daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Danny Kuan dan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Friday Belik.

Ali memenangi kerusi DUN berkenaan pada PRN 2011 dan 2016.

Mengulas manifesto GPS, Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak berkata, parti komponen gabungan itu serius dalam memastikan manifesto yang dilancarkan hari ini dilaksanakan.

“Kami teruskan manifesto pada PRN 2016, kali ini kami tambah baik kejayaan yang telah dicapai. Selain itu, kami masukkan beberapa perkara baharu yang bersesuaian dengan keadaan,” katanya.

Ditanya sama ada GPS akan memberi peruntukan sama rata kepada ADUN pembangkang sekiranya GPS membentuk kerajaan selepas PRN12, Abang Johari berkata, perkara itu akan ditentukan kemudian. – Bernama