Zahidi Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Pelantikan Digital Nasional Berhad (DNB) untuk melaksanakan teknologi 5G di Malaysia diputuskan oleh Kementerian Kewangan (MOF) bukan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

ia diakui Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan menegaskan keputusan  itu juga dibuat tanpa melibatkan perbincangan terlebih dahulu dengan kementeriannya.

“Apabila kita dipanggil oleh MOF (Kementerian Kewangan) untuk memberi kelulusan kepada DNB, kita tak bincang pun, tiba-tiba MOF panggil, kena beri kepada DNB.

“Bila beri spektrum kepada DNB dan DNB jual pula kepada telco (syarikat telekomunikasi) bermakna dua kali peningkatan tetapi DNB beri jaminan harganya lebih murah daripada sekarang.

“Sekarang pun bila telekomunikasi, caj kita lebih murah tetapi mereka nak bagi murah lagi. Itu jaminan DNB kepada kita. Maknanya DNB ambil spektrum, jual kepada telco tapi boleh bagi harga lagi murah.

“Ini satu benda yang cukup ajaib dan kita terima. Jadi kita terpaksa bersetuju,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Syed Ibrahim Syed Noh (Pakatan Harapan-Ledang).

Zahidi berkata, kementeriannya telah bertemu DNB selepas itu untuk membincangkan teknologi 5G termasuk meminta syarikat itu bekerjasama dengan Telekom Malaysia.

“DNB tak ada apa-apa pun. Maknanya tubuh syarikat, panggil (CEO) Marshall buat 5G. Jadi kita tanya, macam mana penglibatan bumiputera, kenapa tak boleh bekerjasama dengan Telekom,” katanya.

Menjawab soalan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) mengapa DNB diberi projek itu jika mereka tidak mempunyai sebarang pengalaman atau infrastruktur, Zahidi berkata, perkara itu perlu ditanyakan kepada Kementerian Kewangan.

Beliau bersetuju bahawa spektrum 5G sepatutnya diberikan kepada syarikat telekomunikasi di sektor swasta untuk mempercepatkan proses pelancarannya kerana mereka sudah mempunyai infrastruktur yang disediakan.

“Tetapi MOF nak buat kerja telekomunikasi, kita biarlah dia buat dan cuba bekerjasama dengan dia. Tapi bila DNB kata nak buat (5G) saya berikan alasan supaya kita adil kepada DNB, dia bagi alasan 4G yang telco buat belum siap,  jadi 5G dia nak buat.

“Jadi maknanya kita terima alasan tersebut sebab dia (DNB) nak control 5G,” katanya. – MalaysiaGazette