Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Cadangan baharu projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Johor Bahru masih dalam perbincangan awal dan persoalan kos projek itu boleh dikurangkan kepada RM50 bilion tidak berbangkit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, mengikut anggaran yang telah dibuat di bawah model yang dicadangkan iaitu HSR 2.0 (Baharu), kos projeknya  adalah jauh lebih rendah dengan kos cadangan HSR 1.0 dan HSR 2.0.

Jelas beliau, di antara struktur model yang terkandung dalam cadangan HSR 1.0 dan 2.0 ialah pewujudan sebuah Assetco yang merupakan sebuah syarikat yang dimiliki oleh pihak swasta dan dikawal selia bersama oleh Kerajaan Malaysia dan Singapura.

“Syarikat ini berfungsi sebagai pemilik sistem dan aset keretapi yang bertanggungjawab untuk membina, membiayai, dan menyelenggara sistem dan aset keretapi serta melaksanakan perolehan dan penyelenggaraan stokereta.

“Di bawah model HSR 2.0 (Baharu) yang dikemukakan kepada pihak Singapura, Malaysia telah mencadangkan supaya AssetCo dimansuhkan.

“Cadangan ini tidak dipersetujui oleh pihak Singapura. Dengan itu, perjanjian Bilateral yang ditandatangani pada 13 Disember 2016 telah terbatal,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang membangkitkan isu HSR termasuk sama ada rundingan dapat memastikan harga asalnya sebanyak RM100 billion boleh dikurangkan kepada RM50 bilion.

Mustapa turut memberitahu, perbincangan dan rundingan seterusnya mengenai hala tuju projek HSR Kuala Lumpur-Johor Bahru itu akan dikendalikan oleh Kementerian Pengangkutan.

Ujar beliau, keputusan itu merupakan langkah terbaru kerajaan dalam rundingan projek berkenaan yang sebelum ini diketuai pihaknya.

Menurutnya, sejak 2013, semua rundingan mengenai projek HSR diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

“Pada pertengahan 2020, jemaah Menteri telah memutuskan supaya saya mengetuai rundingan untuk memuktamadkan projek ini dengan Singapura.

“Pada masa ini, kerajaan sedang dalam proses memindahkan syarikat MyHSR, syarikat bertujuan khas yang bertanggungjawab merundingkan hal-hal teknikal mengenai projek HSR daripada pengawasan Jabatan Perdana Menteri kepada Kementerian Pengangkutan.

“Oleh hal yang demikian, kesemua perbincangan dan rundingan seterusnya mengenai hala tuju projek ini akan dikendalikan oleh Kementerian Pengangkutan,” katanya.

Mustapa menambah, kajian daya maju projek HSR Kuala Lumpur-Iskandar Puteri yang bermula Februari lepas sudah selesai dan hasilnya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette